Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan satu hebahan hari ini mengarahkan Pengasas dan Pengarah Quantum Metal Exchange Inc (QMEI), Datuk Lim Khong Soon @ Lim Hock Seng, untuk segera menghentikan dan menamatkan penawaran saham QMEI kepada orang awam.

Pengawas pasaran modal itu dalam satu kenyataan menegaskan, tawaran saham QMEI, yang sedang berjalan, melanggar keperluan berkaitan di bawah undang-undang sekuriti.

Baca Juga:

“Arahan henti dan tamat dikeluarkan berikutan penemuan SC bahawa QMEI menawarkan sahamnya kepada masyarakat awam Malaysia, termasuk melalui laman web/platform Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) kepada ahli QMSB.

“Ini dilakukan tanpa mendapatkan pengiktirafan dan mendaftarkan dokumen pendedahan dengan SC, yang melanggar Seksyen 212 (5) Akta Pasaran Modal & Perkhidmatan 2007,” petik hebahan rasmi itu.

Susulan daripada itu, SC juga telah meletakkan QMEI dengan butiran berkaitannya pada laman web Senarai Makluman Pelabur SC.

SC juga meminta orang ramai berhati-hati ketika menilai sebarang tawaran pelaburan.

Orang awam turut digesa melaporkan kepada SC jika mereka mendapat tawaran produk pasaran modal daripada individu yang mencurigakan dan tidak berlesen melalui [email protected] atau panggilan +603-6204 8999.

Pada akhir Januari lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan pihaknya terlibat secara langsung, mahupun tidak langsung dengan Quantum Metal.