Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, DSP Pang Meng Tuck menyatakan scammer lebih cenderung membatalkan niat menipu sekiranya berhadapan dengan seseorang individu bersikap suka bertanya banyak soalan sehingga sukar dikendalikan.
Perkara ini didedahkan beliau dalam satu forum pencegahan penipuan yang dianjurkan oleh Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang pada Sabtu lalu, petik Sin Chew.
DSP Pang berkata, berdasarkan temu bual beliau dengan scammer yang telah ditangkap, mereka mendapati sukar memperdaya ‘bakal mangsa; yang sering membalas dengan bertubi-tubi soalan.
Menurut scammer terbabit, bangsa India di Malaysia paling sukar untuk ditipu.
“Katakan seorang scammer cuba meyakinkan mangsa berbangsa India tentang satu penculikan yang tidak pernah berlaku. Mangsa akan bertanya: siapa yang diculik? Di mana? Pukul berapa? Kenapa?
“Soalan-soalan itu akan terus diajukan sehingga scammer itu berputus asa dan beralih kepada orang lain,” katanya.
Berdasarkan data yang dikumpul oleh polis Pulau Pinang pada tahun lalu, pecahan kes adalah seperti berikut:

Wanita Dominasi jadi mangsa scammer
Menyentuh mengenai penipuan bungkusan cinta (romance parcel scam), DSP Pang berkata data Pulau Pinang bagi tahun 2024 merekodkan 57 mangsa wanita berbanding hanya 17 mangsa lelaki.
Jurang perbezaan ini berkemungkinan disebabkan oleh keengganan kaum lelaki untuk melaporkan kes sedemikian kerana berasa malu. Beliau menambah bahawa mangsa penipuan ini biasanya mempunyai salah satu daripada dua ciri: tamak atau kesunyian.
Beliau memetik dua kes sebagai contoh — seorang jururawat dari sebuah hospital di Pulau Pinang yang kerugian RM30,000 ditipu “teman lelaki” dalam talian, serta adik kepada rakannya yang kehilangan hampir RM1 juta (termasuk wang pampasan insurans arwah suaminya) kepada “pasangan baharu” yang dikenali selepas kematian suaminya.