Kugiran rock legendaris Malaysia, Search, buat pertama kali mengeluarkan lagu khas sempena hari kebesaran Aidilfitri.

Tahun 2024 menjadi tahun bersejarah bagi Search dan peminat mereka dengan kelahiran “Sujud Aidilfitri,” sebuah lagu yang menampilkan ciri khas genre rock dan balada yang sudah menjadi tanda tangan kugiran ini selama lebih dari tiga dekad.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Diketuai oleh Datuk Amy, bersama Nasir, Man Kidal, dan Hillary, Search tidak hanya menyampaikan lagu raya, tetapi juga mesej yang dalam dan bermakna melalui lirik yang mengundangkan renungan.

Menurut vokalis Search, Amy, “Sujud Aidilfitri” mempunyai lirik yang lebih menyentuh dan beremosi, sesuai dengan suasana kegembiraan dan kemenangan umat Islam.

Lagu ini menghantarkan mesej muhasabah diri, merenung kesilapan yang telah dilakukan, dan memohon kemaafan dengan rendah hati, seiring dengan tradisi hari raya yang dimulakan dengan bermaaf-maafan.

Pemilihan untuk merakam lagu raya ini adalah satu usaha untuk menghidupkan semula budaya memiliki lagu raya yang semakin kurang dilakukan, dengan kebanyakan pendengar lebih cenderung mendengar lagu-lagu raya lama yang sudah menjadi kegemaran.

Search memilih untuk membawa nuansa yang lebih kental dalam melodi dan lirik lagu ini, sesuai dengan kematangan dan identiti kugiran mereka.

“Sujud Aidilfitri” dihasilkan sepenuhnya oleh Jun dan Search, dengan bantuan Rie Tsuji sebagai arranger, dan Rozhan dalam proses mixing dan mastering.

Lagu ini dipasarkan oleh Universal Music, dan klip video untuk lagu ini turut dirakam di Terengganu, dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk mencapai suasana desa yang damai dan sesuai dengan konsep lagu.

Melalui lagu dan klip video “Sujud Aidilfitri,” Search tidak hanya mengembalikan semangat lagu raya yang bermakna, tetapi juga mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah satu kugiran legendaris Malaysia yang masih relevan dan mampu menginspirasi generasi baru dengan muzik mereka.

Lagu “Sujud Aidilfitri” kini boleh didengari di semua corong radio dan platform digital, manakala klip video juga boleh ditonton di laman YouTube Universal Music.