Bawang goreng merupakan salah satu elemen penting dalam masakan yang menjadikan sesuatu makanan itu nampak lebih menarik, rasanya lebih sedap.

Baru-baru ini tular di media sosial Threads @nicholasch.in yang terkejut apabila melihat bawang goreng tempatan yang dijual pada harga RM79 sebekas yang beratnya cuma 300 gram.

 

View on Threads

 

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang turut terkejut apabila mengetahuinya.

Ramai mempersoalkan apa kelebihannya bawang goreng yang dijual hampir RM80 sebekas itu. Bagi warganet, bawang goreng berharga lebih RM10 sudah keterlaluan, apatahlah lagi beratnya tidak sampai pun 1 kilogram.

Bagaimanapun, pemilik kepada produk bawang goreng itu tampil mendedahkan sebab ianya dijual pada ‘harga kayangan’.

“Kami guna bawang ros, jenis ini memang sangat mahal. Bila sudah goreng, sebanyak 90% berat hilang. Kalau bawang tidak elok kena gandakan berat asal untuk capai 300 gram.

“Sangat labour intensive. Bawang untuk dapatkan sebotol sahaja perlukan 3kg hingga 5kg bawang segar dikupas, dipotong dan digoreng dengan pantas. Semua handmade,” jelas Threads @husam_inspires.

Menurut beliau lagi, jualan bawang goreng itu tidak melibatkan ‘orang tengah’. Sekiranya ada, nescaya harganya lebih daripada itu lagi.

Difahamkan bawang goreng ini boleh didapatkan di QRA, BSC, Seibu, TFM di Pavilion, BIG Grocer dan Village Grocer.

Dalam pada itu, bagi warganet yang pernah merasai sendiri produk tersebut mengakui kesedapan bawang goreng itu sangat berbaloi dengan harganya.