Walaupun berdepan dengan peningkatan kos operasi, kenaikan harga bahan mentah dan minyak, serta ketidaktentuan ekonomi mahupun geopolitik global, IKEA Malaysia kekal teguh dengan pendirian mereka untuk menawarkan harga yang mampu milik.

Bukti paling nyata bagi komitmen ini dapat dilihat pada jualan karipap ikonik mereka.

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys, menyatakan bahawa harga karipap IKEA hanya mencatatkan peningkatan sebanyak 40 sen dalam tempoh 30 tahun, petik Harian Metro.

Karipap IKEA Malaysia Pilihan Pelanggan
Cuma Naik 40 Sen Dalam 30 Tahun, Pengarah IKEA Malaysia Kongsi Sebab Karipap Kekal Murah
Sumber Gambar: Facebook Malaysia Book Of Records

Ketika mula diperkenalkan, karipap ini dijual pada harga RM1 dan kini ia ditawarkan pada harga RM1.40 sahaja.

“Karipap IKEA sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian ramai pelanggan sama ada selepas membeli-belah atau ketika meluangkan masa bersama keluarga dan rakan.

“Pengiktirafan ini menggambarkan bagaimana makanan mampu menyatukan masyarakat dan mencipta kenangan bersama,” katanya kepada media di Majlis Pengiktirafan MBOR bagi kategori ‘Jualan Karipap Terbanyak dalam Setahun’, baru-baru ini.

Cuma Naik 40 Sen Dalam 30 Tahun, Pengarah IKEA Malaysia Kongsi Sebab Karipap Kekal Murah
Sumber Gambar: Facebook Malaysia Book Of Records

Syarikat memilih untuk tidak menaikkan harga secara agresif kerana hidangan ini telah menjadi lambang komitmen IKEA terhadap kebolehcapaian harga dan kualiti tanpa membebankan pelanggan.

“Harga bahan mentah dan minyak meningkat selain tekanan faktor geopolitik global, namun kami memilih untuk tidak menaikkan harga secara agresif kerana karipap ini melambangkan komitmen kami terhadap kemampuan harga dan kualiti,” katanya.

2,000 Barangan Turun Harga

Selain mengekalkan harga makanan, komitmen IKEA ini turut dipanjangkan kepada penawaran produk kelengkapan rumah mereka.

Bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki produk keluarannya, IKEA telah mengambil langkah proaktif menurunkan harga sehingga 2,000 barangan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Strategi mesra pelanggan ini juga dilaporkan akan terus dilancarkan pada tahun ini bagi menampung keperluan masyarakat.

Secara keseluruhannya, pendekatan IKEA Malaysia ini membuktikan bahawa fokus utama mereka adalah untuk terus menawarkan nilai yang terbaik kepada rakyat Malaysia menerusi pengekalan harga makanan dan produk yang berpatutan

Sumber