Pernah tak berada dalam situasi di gim anda boleh deadlift 100kg atau lari 10km tanpa masalah. Tapi, bila duduk di kerusi pejabat 3 jam atau membongkok untuk mengikat tali kasut, tiba-tiba pinggang rasa mencucuk?
Gaya hidup moden dengan waktu kerja panjang di kerusi serta rutin senaman yang kurang seimbang menyebabkan ramai lelaki di Malaysia mula mengalami masalah sakit pinggang seawal usia 20-an dan 30-an.

Bila sebut tentang Pilates, kebanyakan lelaki terus terbayang studio estetik, lagu tenang dan aktiviti yang sinonim dengan gaya hidup wanita. Tanggapan ini membuatkan ramai terlepas pandang kebaikan Reformer Pilates.
Hakikatnya, atlet profesional seperti Cristiano Ronaldo, bintang NBA LeBron James, hingga ke petarung UFC sudah lama menggunakan Pilates sebagai ‘senjata rahsia’ untuk kekal bebas kecederaan.
Berikut 5 sebab utama kenapa anda yang aktif ke gim, selalu memandu jauh atau bekerja di meja patut cuba gabungkan Reformer Pilates dalam rutin harian.
Baca juga: 5 Tanda Anda Mengalami ‘Quiet Burnout’ Dan Cara Reset Semula
1. Merawat dan decompress tulang belakang
Setiap kali anda buat senaman bebanan seperti squats atau deadlifts, tulang belakang anda menerima tekanan menegak (spinal compression). Jika otot penstabil tidak cukup kuat, tekanan ini terus pergi ke gelendong tulang belakang.
Mesin Reformer Pilates menggunakan sistem spring dan tali untuk memberikan rintangan secara terkawal. Pergerakan ini membantu meregangkan ruang antara ruas tulang belakang sambil menguatkan otot di sekelilingnya. Hasilnya, tekanan pada bahagian pinggang dapat dikurangkan.
2. Mengaktifkan otot teras
Ramai ingat bila ada six-pack, otot teras mereka secara automatik dah cukup kuat. Hakikatnya, six-pack cuma otot luaran (Rectus Abdominis).
Pilates fokus kepada otot teras bahagian dalam seperti Transverse Abdominis, ibarat ‘bengkong semulajadi’ tubuh yang menyokong tulang belakang. Bila otot dalaman ini kuat, postur badan jadi lebih stabil semasa angkat beban berat mahupun ketika duduk bekerja.
Untuk keselesaan sepanjang sesi, pastikan anda memakai baju gim yang stretchable dan grip socks yang sesuai supaya tak tergelincir sewaktu mengendalikan mesin Reformer.
3. Tingkatkan mobiliti untuk angkatan lebih berat
Biasa tak jumpa member gim yang susah nak turun secara deep squat sebab sendi buku lali atau pinggul rasa ketat?
Flexibility adalah julat regangan otot, manakala mobility adalah keupayaan anda mengawal pergerakan sendi dalam julat tersebut. Pilates bukan sekadar meregangkan otot, tapi membina kekuatan pada julat pergerakan maksimum.
Bila mobiliti pinggul dan bahu bertambah baik, teknik angkatan di gim jadi lebih kemas dan anda boleh tambah bebanan dengan lebih selamat. Untuk beginner yang baru nak mula, anda boleh cari pilihan activewear bajet yang ringkas dan selesa.
4. Perlindungan sendi
Bagi yang gemar main futsal, badminton atau berbasikal pada hujung minggu, kecederaan seperti hamstring strain atau sakit lutut selalunya berlaku disebabkan ketidakseimbangan kekuatan otot.
Pilates melatih otot-otot kecil (stabilizers) yang jarang diguna dalam aktiviti harian. Latihan ini membina kestabilan pada kawasan sendi penting seperti lutut dan buku lali. Bila otot penstabil kuat, risiko terseliuh sewaktu perlawanan sengit hujung minggu dapat dikurangkan.
5. ‘Reset’ postur daripada tabiat bongkok
Masa perjalanan yang panjang atas jalan raya serta tabiat menunduk tengok skrin telefon dan komputer menyebabkan ramai lelaki mengalami masalah bahu membongkok dan leher tertolak ke depan.

Melalui pergerakan Pilates yang memfokuskan pernafasan dan penjajaran tulang belakang, ia membantu membuka semula bahagian dada yang tegang dan menguatkan otot bahagian belakang atas. Postur yang kemas bukan sahaja mengurangkan sakit leher, malah buat penampilan anda nampak lebih tegak dan yakin.
Sesekali, jika badan rasa terlalu lesu akibat tekanan kerja, apa salahnya rancang short weekend getaway atau ambil masa untuk rehatkan minda sambil fokus pada pemulihan fizikal anda.
Pilates bukan direka untuk menggantikan rutin angkat berat atau aktiviti sukan sedia ada. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai sistem maintenance untuk badan bagi memastikan sendi dan tulang belakang kekal fleksibel dan bebas kecederaan.
Sebelum menilai senaman ini sekadar trend, apa kata cuba satu sesi asas dulu. Mana tahu, mesin rintangan spring ini bakal jadi penawar sakit pinggang yang anda tanggung selama ini.