Penglibatan dalam aktiviti mendaki gunung menjadi medium utama buat seorang pendaki ekspedisi Trans Gerah (Trans GBB), Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, bagi mengelakkan dua anaknya daripada bergantung secara berlebihan kepada penggunaan telefon bimbit.
Menurut jurutera awam berusia 39 tahun itu, beliau memilih sukan lasak berkenaan selepas mencuba pelbagai aktiviti lain termasuk badminton dan renang bagi menangani isu ketagihan gajet dalam kalangan anaknya, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, sembilan tahun.
“Masalahnya mereka mula ketagih telefon bimbit, jadi saya cari jalan untuk elakkan mereka menghabiskan terlalu banyak masa dengan peranti tersebut.
“Saya sudah cuba pelbagai aktiviti seperti badminton dan renang, tetapi ia hanya bertahan satu atau dua jam. Oleh itu, saya cuba beralih kepada aktiviti mendaki,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, petik New Straits Times.
Wan Ahmad Aslam berkata, aktiviti mendaki bersama keluarganya bermula secara separuh hari sebelum beransur-ansur menyertai ekspedisi lebih panjang selama empat hingga enam hari, dengan rekod tertinggi sebelum ini adalah selama lapan hari.
Beliau menambah, dua anaknya mula aktif mendaki sejak dua tahun lalu meskipun sudah didedahkan dengan aktiviti luar sejak kecil.
“Saya membawa mereka bersama sejak dari penggunaan kereta sorong bayi (stroller), tetapi mereka hanya mula aktif secara serius kira-kira dua tahun lepas. Seingat saya, ini merupakan ekspedisi ‘Trans’ lapan kami sekeluarga.
“Berdasarkan pengalaman, ketahanan fizikal kanak-kanak sebenarnya lebih kuat berbanding orang dewasa. Kita cuma perlu menguruskan mental mereka serta memastikan mereka gembira dan menikmati perjalanan,” katanya.
Mengulas mengenai ekspedisi berkenaan, Wan Ahmad Aslam menjelaskan kumpulannya tidak tersesat sebaliknya mengambil masa lebih lama daripada yang dijadualkan berikutan beberapa halangan di sepanjang laluan.
“Secara jujurnya, situasi kami di dalam hutan berada dalam keadaan terkawal. Kami tahu kedudukan kami, jumlah bekalan makanan yang ada dan tiada sebarang kecederaan berlaku.
“Kami tidak tersesat, cuma kami bimbang ahli keluarga membuat laporan polis dan perkara itu akhirnya benar-benar berlaku,” jelas beliau.
Menurutnya, pergerakan kumpulan menjadi lambat apabila hanya mampu menempuh jarak dua hingga tiga kilometer sehari berbanding sasaran asal antara 8 hingga 10 kilometer. Keadaan itu mendorong mereka berbincang sama ada mahu berpatah balik atau meneruskan perjalanan sebelum memutuskan untuk mencari sumber air dan memotong laluan asal.
Wan Ahmad Aslam turut mengesahkan bekalan makanan mereka masih mencukupi sehingga hari ke-10 meskipun ekspedisi itu melebihi tempoh asal.
“Bekalan makanan kami masih mencukupi sehingga hari ke-10. Malah, malim gunung yang mengetahui saya membawa anak-anak turut membawa bekalan tambahan untuk kami sekeluarga.
“Pada hari terakhir, saya masih mempunyai bekalan Power Gel, Hydro Gel, ORS dan beras,” katanya.