Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa caj RM100 yang dikenakan bagi setiap subjek untuk proses semakan semula keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan kos pemprosesan pentadbiran dan bukannya bayaran yang bergantung kepada hasil atau jaminan perubahan keputusan.

Penjelasan tersebut dikemukakan oleh Menteri Pendidikan bagi menjawab pertanyaan lisan daripada Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman (MP Kuala Krai) di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Krai tersebut sebelum itu meminta KPM menyatakan peratusan perubahan keputusan SPM selepas semakan semula setiap tahun, serta mempersoalkan mengapa bayaran RM100 tidak dipulangkan kepada pelajar sekiranya wujud kemungkinan berlaku kesilapan dalam proses pemarkahan asal.

Rasional Caj Semakan Semula Kertas SPM RM100

Menurut KPM, kadar bayaran tersebut telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan bertarikh 18 Disember 2014. Selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan, semua bayaran yang diterima oleh Lembaga Peperiksaan diperakaunkan terus ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Caj RM100 berkenaan digunakan untuk menampung kos pelaksanaan keseluruhan proses semakan yang melibatkan:

1. Pengurusan permohonan calon.

2. Penyediaan dan pengeluaran skrip jawapan asal.

3. Pelantikan dan bayaran kepada panel pemeriksa baharu.

4. Proses kawalan kualiti (QC).

5. Pengemaskinian sistem serta pengeluaran slip keputusan baharu.

Bila Bayaran Akan Dipulangkan?

Bagaimanapun, KPM menjelaskan bahawa bayaran tersebut hanya akan dipulangkan kepada pemohon sekiranya berlaku perubahan keputusan melibatkan Kes ‘T’ (Tidak Lengkap).

Apa itu Kes ‘T’?

Kes ‘T’ merujuk kepada situasi di mana padanan markah setiap kertas adalah tidak lengkap.

Ia berlaku apabila markah mentah daripada keseluruhan kertas peperiksaan sesuatu mata pelajaran gagal dicantumkan dengan sempurna dalam sistem pelaporan.

Ketelitian Dan Integriti Pemarkahan

Bagi memastikan keadilan dan ketelusan, KPM menegaskan bahawa proses semakan semula tidak dibuat secara sembrono.

Skrip jawapan calon akan diperiksa semula oleh pemeriksa yang berbeza daripada pemeriksa asal, namun tetap berpandukan peraturan pemarkahan dan panduan pemeriksaan ketat yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

“Sekiranya terdapat perubahan markah, perubahan tersebut adalah hasil daripada penelitian semula terhadap keseluruhan respons calon berdasarkan peraturan pemarkahan yang ditetapkan, dan bukan disebabkan oleh perbezaan tafsiran yang tidak berasaskan panduan pemeriksaan,” jelas KPM.

Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam mempertahankan integriti akademik serta memastikan setiap calon mendapat hak dan keadilan yang sewajarnya.

Sumber