Hari ini Element X Strategies dengan mengumumkan penutupan rasmi satu babak yang amat bermakna dalam portfolio syarikat, iaitu berakhirnya sebagai penganjur rasmi acara Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (Tokyo Auto Salon KL).

Setelah tiga tahun berturut-turut mengemudi penganjuran yang meraih kejayaan luar biasa, Element X Strategies telah mengambil keputusan strategik untuk tidak memperbaharui lesen penganjuran Tokyo Auto Salon KL.

Keputusan ini diambil bersandarkan pencapaian kesemua objektif dan sasaran utama yang telah ditetapkan oleh syarikat sepanjang tempoh tersebut.

Memetik kenyataan rasmi Element X Strategies, kehadiran Tokyo Auto Salon KL di bawah pengurusan Element X Strategies bermula ketika dunia sedang dalam fasa pemulihan daripada pandemik COVID-19.

“Bersama-sama, kita telah membantu mengembalikan gelombang pergerakan JDM dan kenderaan kustom dengan begitu hebat, seterusnya memberi inspirasi kepada rantaian baharu peminat, pembina modifikasi, pencipta kandungan, dan acara-acara automotif di seluruh negara,” kata Element X Strategies.

Melalui usaha kolektif ini, industri automotif tempatan menyaksikan kebangkitan gelombang baharu yang melibatkan para peminat, pembina kereta kustom, pencipta kandungan, serta penggiat industri dari seluruh negara.

Penghargaan Tertinggi Kepada Semua Menjayakan Tokyo Auto Salon KL
3 Tahun Cipta Sejarah JDM, Penganjur Jelaskan Sebab Tokyo Auto Salon KL Ditamatkan
Sumber Gambar: Element X Strategies

Pihak pengurusan Element X Strategies menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjadi tunjang belakang kepada kejayaan Tokyo Auto Salon KL:

“Bersama-sama, kita telah mencipta memori yang akan kekal seumur hidup. Setiap suasana di ruang pameran yang penuh keterujaan, setiap deruman enjin, setiap perbualan, setiap senyuman, dan setiap perkongsian minat terhadap budaya automotif telah menjadikan perjalanan ini sesuatu yang amat istimewa.

“Namun, ini bukanlah penghujung jalan. Malah, ia hanyalah sebuah permulaan.”

Melangkah ke Hadapan: Evolusi Seterusnya dalam Hiburan Automotif

Keputusan ini bukanlah satu pengakhiran, sebaliknya merupakan titik permulaan bagi fasa pertumbuhan syarikat yang lebih dinamik.

Seiring dengan evolusi visi korporat, Element X Strategies kini menetapkan sasaran terhadap projek yang lebih besar dan berimpak tinggi untuk komuniti automotif.

Element X Strategies bakal memperkenalkan sebuah pengalaman automotif ‘flagship‘ serba baharu tidak lama lagi.

Acara masa hadapan ini direka bentuk untuk melangkaui sempadan pameran motor tradisional dengan mengetengahkan:

Sinergi Budaya dan Gaya Hidup: Menggabungkan spektrum budaya automotif yang lebih luas, hiburan, gaya hidup, serta inovasi moden di bawah satu bumbung.

Kandungan Bertaraf Dunia: Membawa kembali barisan kenderaan kustom bertaraf antarabangsa dan tarikan unik dengan pengisian yang lebih eksklusif dan menyeluruh.

Element X Strategies amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh seluruh ekosistem automotif sepanjang pengembaraan ini dan tidak sabar untuk mendedahkan evolusi seterusnya dalam masa terdekat.

“Babak seterusnya ini bakal menjadi lebih besar daripada apa-apa jua yang pernah kami hasilkan sebelum ini.

“Apabila sebuah perjalanan berakhir, sebuah lagi perjalanan baharu bermula.

“Terima kasih kerana mempercayai kami, menyokong kami, dan berkongsi pengembaraan yang menakjubkan ini. Kami tidak sabar untuk menyambut kehadiran anda sekali lagi dalam masa terdekat, bagi menyaksikan evolusi seterusnya dalam dunia hiburan automotif.

“Lembaran terbaik baru sahaja bermula,” kata Element X Strategies.

Difahamkan acara baharu yang dibawakan Element X Strategies bakal dianjurkan pada bulan November nanti.