Sejak hari semalam, orang ramai meletakkan harapan tinggi agar peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Pentaksiran Tingkat 3 (PT3) bakal dikembalikan semula dalam pengumuman Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 hari ini.

Bagaimanapun, harapan orang ramai untuk mendengar pengumuman tersebut tidak kesampaian.

Baca Juga:

Menerusi kenyataan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan kedua-dua peperiksaan itu tidak akan diperkenalkan semula kerana Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tumpuan kepada pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia bagi murid Tahun Empat dan pelajar Tingkatan Tiga.

Memetik Berita Harian, kementerian tidak lagi boleh menoleh ke belakang. Sewajarnya melihat kepada sistem potensi secara lebih holistik.

Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, ia menawarkan sistem pengukuran pembelajaran yang lebih luas dan menyeluruh.

“Sebelum pengumuman hari ini, apa yang kita pertahankan di peringkat kementerian? Kita pertahankan soal pentaksiran.

“Kita kata ‘we will never bring back’ UPSR PT3 kerana kita nak nak tumpu pentaksiran ini.

“Kenapa pentaksiran ini penting? Kerana dia adalah satu sistem, maknanya yang melihat kepada potensi anak-anak ini secara holistik, secara keseluruhan.

“Kita mesti (pandang) ke depan bila ke hadapan itu, soalnya bukan lagi yang tanya tadi? UPSR, PT3 bukan lagi, ia dah tak sesuai dengan zaman anak-anak kita,” katanya.

'We Will Never Bring Back' – Fadhlina Sidek Kongsi Sebab UPSR, PT3 Tidak Dikembalikan
Sumber Gambar: Facebook Anwar Ibrahim

Dalam pada itu Fadhlina menegaskan pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia itu tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan.

“Matriks pembelajaran ini sangat penting kerana sistem pengukurannya lebih luas. Ia bukan sistem peperiksaan yang menekan murid, sebab itu saya minta ibu bapa dan guru-guru supaya tidak panik,” katanya.

Pada masa sama pemilihan Tahun Empat adalah bagi memastikan kementerian mempunyai ruang masa mencukupi untuk melaksanakan intervensi dan pengukuhan pembelajaran sebelum murid melangkah ke peringkat seterusnya.

“Kita laksanakan di Tahun Empat kerana masih ada dua tahun untuk kita membuat intervensi sekiranya berlaku sebarang kelemahan.

“Ini keseluruhannya berkaitan intervensi, pengukuhan dan sokongan kepada kurikulum baharu,” katanya.

Sumber