Pada awal Februari lalu, Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Anthony Loke Siew Fook telah mengumumkan pelekat cukai jalan atau road tax tidak lagi diwajibkan dipamerkan pada cermin kenderaan persendirian.

Walaupun langkah itu bagus dalam dunia serba digital ini, Presiden Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM) berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna kenderaan individu persendirian, e-hailing dan perdagangan yang masih memilih pelekat Lesen Kenderaan Motor (LKM), tetapi kehabisan di hampir semua cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Baca Juga:

Menurut beliau, ada petugas cawangan JPJ menolak permintaan sebahagian pemilik kenderaan mahu terus memiliki pelekat fizikal LKM atas alasan kehabisan atau kekurangan pelekat fizikal road tax, petik laporan Berita Harian.

“PERWATAM sedia maklum bahawa JPJ menggalakkan supaya pengguna kenderaan persendirian individu untuk memperbaharui LKM secara digital.

“Namun, PERWATAM juga difahamkan bukan semua pengguna mampu mendapatkan LKM secara digital atas faktor masalah penggunaan aplikasi MyJPJ yang tidak dapat diakses oleh pengguna.

“Berikutan itu, ia memberi kesan kepada pengguna kenderaan komersial, e-hailing, penama syarikat dan bukan warganegara yang masih perlu mempamerkan fizikal LKM tetapi tidak dapat berbuat demikian.

“Pengguna dibekalkan dengan resit sebagai bukti memperbaharui LKM tetapi apakah resit yang dibekalkan boleh diguna pakai ketika semakan sekatan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau, pengguna kenderaan juga mengadu bahawa bekalan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) turut mengalami gangguan kekurangan bekalan.

Ini sekali gus memberi kesan kepada pengguna untuk terus menggunakan kenderaan dengan selamat dan mengikut peraturan jalan raya.

“Pihak JPJ dan Kementerian Pengangkutan perlu beri penjelasan terperinci berkaitan perkara ini dan diselesaikan dengan segera supaya tidak timbul salah faham di antara penguat kuasa dan pengguna ketika operasi sekatan jalan raya.

“Cadangan diberi pilihan itu juga dibuat berdasarkan makluman pengguna kenderaan yang mahu ia terus dikekalkan dan memastikan tiada gangguan bekalan pelekat fizikal LKM berlaku di masa hadapan,” jelas beliau.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Sumber