Memang tidak dinafikan, untuk mendapatkan pengiktirafan dari syarikat teknologi terkemuka memang boleh dianggap sebagai sesuatu yang mustahil kerana ada lebih ratus ribuan individu bijaksana di luar sana.

Namun, bagi Mohammad Hasif Afiq, segala penat lelahnya terbukti berbaloi apabila beliau melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang berjaya menempatkan diri dalam senarai berprestij, Apple Developer Recognition.

Kejayaan Bertaraf Dunia & Reaksi Merendah Diri

Sejarah Tercipta: Mohammad Hasif Afiq Jadi Rakyat Malaysia Pertama Diiktiraf 'Apple Developer'
Screenshot

Memetik laporan Amanz, baru-baru ini, profil beliau telah menghiasi muka depan senarai Developer Recognition Apple, berdiri sama tinggi dengan 49 pembangun aplikasi hebat dari seluruh dunia yang telah memberikan impak besar kepada komuniti masing-masing.

Berkongsi rasa syukurnya melalui satu hantaran di LinkedIn, Hasif mengakui pada mulanya beliau hampir tidak percaya dan menyangka Apple tersalah menghantar e-mel kepadanya.

Bagaimanapun, beliau melihat pengiktirafan antarabangsa ini sebagai satu pengesahan bermakna bahawa setiap baris kod yang ditaip, setiap masalah sistem yang diselesaikan, dan setiap pengguna yang dibantu selama ini tidak sia-sia.

Terlibat Dalam Pembangunan Aplikasi Gergasi Tempatan

Di sebalik kejayaan manis ini, Hasif sememangnya mempunyai latar belakang kerjaya yang sangat kukuh. Beliau kini memegang tanggungjawab besar sebagai Jurutera Perisian Kanan di Grab.

Lebih membanggakan, kepakaran beliau turut diterjemahkan melalui pembabitannya dalam membangunkan beberapa aplikasi popular yang menjadi nadi harian rakyat Malaysia, termasuklah aplikasi Grab, GXBank, Boost eWallet, dan JobStreet.

Berbakti Kepada Masyarakat Menerusi Teknologi

Apa yang membuatkan pencapaian Hasif lebih istimewa adalah usahanya menggunakan teknologi untuk membantu masyarakat.

Ketika negara dilanda pandemik dan ramai rakyat bergelut mencari jalan keluar, Hasif tampil membina Bantu App berpandukan inisiatif tular #KitaJagaKita.

Selain itu, sisi rohaninya turut dikongsi bersama pengguna menerusi penciptaan Hidayah App.

Aplikasi islamik komprehensif ini memudahkan umat Islam dengan ciri-ciri seperti paparan waktu solat, kompas penentu arah kiblat, himpunan doa pilihan, fungsi tasbih digital, serta kemudahan membaca ayat suci al-Quran.

Memperkasa Komuniti Pembangun Tempatan

Kecintaannya terhadap dunia pengekodan tidak terhenti pada kejayaan peribadi. Hasif juga merupakan salah seorang penggerak aktif dalam Swiftlah!, sebuah komuniti yang menghimpunkan pembangun aplikasi iOS di Malaysia.

Dedikasi beliau dalam komuniti ini membuktikan komitmennya yang bukan sahaja mahu maju ke hadapan sendirian, tetapi turut mahu memimpin dan memacu bakat-bakat teknologi tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.