Sejak jenama tempatan ini mulai ditubuhkan, dapat dilihat pelbagai projek serta inovasi baik dari segi model sebenar mahupun prototaip telah dihasilkan. Sesetengah model ini juga turut mendapat pujian serta pengiktirafan dari negara luar.
Walau bagaimanapun, haluan dan visi yang berbeza membuatkan jenama ini terkadang meninggalkan projek yang diusahakan meskipun dinantikan peminat serta pengguna yang sedia untuk mendapatkannya.
Pada kali ini, laman WapCar telah menemui beberapa model prototaip Proton yang penuh dengan inovasi di Pickles Auction, Jalan Klang Lama. Alangkah terkejutnya apabila didapati model-model seperti Saga EV, Iriz EV, Exora REEV prototaip, Iriz Turbo dan model konsep EMAS sekadar tersadai di luar premis seakan menantikan hari untuk dilelong.
Bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa model kereta elektrik dan hibrid dari negara luar seperti Chevrolet Volt, Toyota Prius dan Nissan Leaf yang dikatakan menjadi model rujukan jurutera Proton dalam membangunkan kereta elektrik (EV) mereka sendiri.
Untuk pengetahuan, model seperti Saga EV dan Exora REEV sebelum ini pernah dibuktikan kemampuannya dalam cabaran RAC Future Car Challenge yang berlangsung dari Brighton ke London pada 2011. Walau bagaimanapun, model ini tidak lagi diberi sentuhan baharu atau diusahakan untuk penjualan kepada orang ramai.
Selain itu, model konsep Proton EMAS yang direka oleh ItalDesign Giugiaro pada tahun 2010 turut sedia tersadai. Diharap model-model penuh inovatif daripada Proton ini tidaklah dilelong meskipun sudah berada di premis lelongan sebaliknya diletakkan di tempat yang sepatutnya sebagai tontonan generasi akan datang serta peminat jenama ini.
Proton pada bulan ini telah melancarkan Proton Saga Anniversary Edition sempena ulang tahun model ini yang ke-35 tahun. Turut dikongsikan, Proton Saga edisi terhad yang dikeluarkan pada tahun 1989.
Proton Saga Anniversary Edition Dilancarkan Secara Rasmi Dengan Harga RM39,300
Proton Saga Knight Keluaran 1989 Ini Sedia Untuk Dijual Dengan Harga RM9,500