Rakyat Malaysia yang terkenal, termasuk beberapa yang bergelar ‘Datuk’ dilaporkan menyembunyikan identiti mereka sebaik mungkin ketika melangsungkan perkahwinan di wilayah selatan Thailand.

Memetik New Straits Times, Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat Abdul Aziz Che Mamat berkata beliau percaya ia berlaku selepas New Straits Times mengetengahkannya dua tahun lalu.

Baca Juga:

“Sebelum ini, mereka yang bergelar ‘Datuk’ akan mendedahkan identiti mereka apabila mendaftar untuk berkahwin sama ada di pejabat kami di Narathiwat atau di pekan Sungai Golok.

“Namun, sejak 2022, selepas ia ditonjolkan dalam NST, mereka mula menyembunyikan identiti mereka.

“Kami percaya mereka tidak mahu orang ramai tahu mengenainya. Individu ini mengutamakan privasi mereka tetapi pegawai agama kami akan tetap mengetahui identiti mereka nanti,” katanya.

Memetik laporan itu lagi, ada yang sanggup ke Songkhla untuk menghalalkan hubungan suami isteri.

“Sekarang ini golongan VIP, selebriti, ahli politik dan orang kaya termasuk mereka yang bergelar ‘Datuk’ lebih gemar melancong ke Songkhla untuk berkahwin di majlis agama di sana,” katanya.

Aziz berkata berbanding Narathiwat, jumlah pasangan yang berkahwin di Songkhla meningkat dengan ketara.

Majlis Agama Islam Narathiwat berkata mereka berbuat demikian kerana mereka tidak mendapat kebenaran daripada isteri pertama mereka di tanah air, yang merupakan prasyarat di Malaysia.

Sementara itu, Ahli jawatankuasa majlis itu Abdul Rahman Yusof berkata lelaki ini terdiri daripada penjawat awam, ahli politik dan VIP.

Katanya, mereka memilih Narathiwat atau daerah kecil Sungai Golok untuk mengambil isteri kedua atau ketiga tanpa pengetahuan pasangan masing-masing.

Rahman berkata perkahwinan sebegitu, terutama jika melibatkan VIP, menjadi bahan gosip di kalangan rakyat Thailand dan Malaysia.

Terdahulu, lelaki yang mempunyai gelaran ‘Datuk’ membentuk lebih separuh daripada rakyat Malaysia yang melintasi sempadan Malaysia-Thailand untuk mengikat tali perkahwinan di Narathiwat.