Kira-kira 2,000 penduduk Gaza kini berlindung di sebuah sekolah yang dibina dengan bantuan rakyat Malaysia selepas kediaman mereka dimusnahkan oleh tentera Israel.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata Sekolah Quran Malaysia, yang terletak di bandar Khan Yunis, selatan Gaza, mula beroperasi pada 2018.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Sejak amaran tentera Israel agar penduduk Gaza di utara termasuk Kota Gaza berpindah ke kawasan selatan demi keselamatan mereka, ramai daripada mereka telah melarikan diri ke selatan.

“Salah satu tempat mereka mencari perlindungan adalah sekolah, termasuk yang dibiayai oleh sumbangan daripada orang Malaysia. Keadaan ini mungkin berterusan untuk tempoh yang panjang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mereka yang berlindung di sekolah itu turut dibekalkan makanan, khemah, selimut dan tilam yang diuruskan oleh kakitangan Aman Palestin yang juga penduduk setempat.

Sekolah dengan bangunan tiga tingkat berkeluasan lantai 4,500 meter persegi itu difahamkan bernilai RM4.3 juta.

Ia mampu menampung 700 pelajar dengan dilengkapi 23 kelas termasuk makmal komputer, makmal sains, perpustakaan, dewan latihan dan serba guna serta surau untuk kemudahan pelajar bersolat di sekolah.

Menurut Farhan, projek pembangunan lain di Gaza yang dibiayai oleh rakyat Malaysia dan diuruskan Aman Palestin kekal selamat dan tidak terjejas.

“Apa yang kita tahu, mereka masih utuh. Ini termasuk Masjid Al-Qassam, Masjid As-Syafie, Masjid Sheikh Ajlin dan hospital Aman Palestin yang sedang dalam pembinaan,” katanya.

Konflik berterusan di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan Israel telah mengakibatkan kehilangan beribu-ribu nyawa di kedua-dua belah pihak sejak 7 Oktober lalu.

Sumber