Negeri Selangor telah disenaraikan sebagai negeri paling demokratik di Malaysia oleh kumpulan advokasi reformasi institusi CSO Platform for Reform dengan markah 69 peratus, manakala negeri Perlis berada di kedudukan terakhir selepas mengutip hanya 34 peratus.

Dalam senarai ‘Liga Demokrasi Malaysia’ yang diumumkan semalam, Selangor berkongsi kedudukan teratas bersama-sama dengan Perak di tempat kedua dan Negeri Sembilan di tempat ketiga.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pengasas bersama Undi18 Tharma Pillai berkata kepada Malay Mail bahawa liga itu adalah sebahagian daripada inisiatif kumpulan ini untuk mengukur tahap demokrasi di kalangan DUN dan komitmen mereka terhadap pembaharuan institusi.

Sebanyak 14 parameter telah digunakan untuk menentukan markah bagi setiap DUN antaranya adalah pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di peringkat negeri, pendengaran awam mesyuarat PAC dan pelantikan pengerusi PAC daripada Pembangkang, Waktu Pertanyaan Ketua Menteri, pengenalan Kabinet bayangan, Anti- Undang-undang lompat parti, tempoh persidangan dewan, bilangan pelapis dan pengiktirafan ketua Pembangkang, dan peruntukan adil untuk wakil rakyat.

Tharma juga berkata senarai 14 parameter itu belum muktamad dan mungkin akan diperluaskan lagi untuk memasukkan lebih banyak lagi pada masa hadapan.

Untuk rekod, negeri yang berada di kedudukan pertengahan ialah Pahang (53 peratus), Pulau Pinang (52 peratus), Kelantan (46 peratus), Sarawak dan Kedah (45 peratus), Johor (42 peratus) dan Melaka (41 peratus).

Manakala negeri yang paling corot selain daripada Perlis adalah Sabah yang mengutip 40 peratus dan Terengganu yang mencatatkan 37 peratus.