Kejayaan Selangor FC (SFC) menewaskan jaguh Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors 2-1 pada aksi ketiga kumpulan H AFC Champions League Two (ACL2) semalam menyaksikan pasukan itu mengaut USD50,000 (RM217,000) sebagai hadiah kemenangan.
Berdasarkan manual pertandingan dalam ACL2, setiap pasukan yang meraih kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan akan membawa pulang USD50,000.
Baca Juga:
- Senarai Lengkap 32 Kelab AFC Champions League Two 2024-2025
- Selangor FC Mohon Maaf Kepada Media, Pegawai Terlibat Tidak Dibenarkan Ke Stadium
- Pembantu Jurulatih Selangor Sertai Kelab Kemboja
Ini adalah kemenangan kedua Selangor selepas menewaskan kelab Filipina, Dynamic Herb Cebu 1-0 sekaligus mengutip USD100,000 (RM435,000) selepas mengharungi tiga perlawanan.
Sebelum itu, mereka sudah menerima USD300,000 (RM1.3 Juta) sebagai imbuhan menyertai saingan peringkat kumpulan ACL2 sekaligus mengumpulkan lebih RM1.7 Juta daripada ACL2 setakat ini.
Kelab bakal mendapat tambahan wang tunai sebanyak USD160,000 (RM696,000) sekiranya berjaya mara ke peringkat suku akhir dan mendapat tambahan hadiah wang tunai sebanyak USD240,000 (RM1 Juta) sekiranya mara ke peringkat separuh akhir.
Pasukan yang muncul juara AFC Champions League 2 akan membawa pulang wang tunai sebanyak USD3.28 Juta (RM10.5 Juta) manakala naib juara turut kaut wang tunai sebanyak USD1.78 Juta (RM4.2 Juta).
Habuan lumayan yang ditawarkan dalam pertandingan ini sudah tentu akan membakar semangat setiap pasukan untuk mempamerkan aksi terbaik memburu kemenangan dalam setiap perlawanan serta melangkah lebih jauh.
Selangor ketika ini merupakan pendahulu kumpulan H selepas mengutip 7 mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri. Hanya dua pasukan teratas kumpulan mara ke peringkat seterusnya.
Selepas ini, skuad kendalian Nidzam Jamil itu akan bertemu Jeonbuk Hyundai Motors sekali lagi di tempat lawan pada 7 November 2024.