Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi masih berteka-teki mengenai pasukan baharu dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila mendedahkan empat kelab yang menjadi pilihannya.

Menerusi laman instagram story, seorang peminat sempat bertanya mengenai destinasi beliau pada musim 2024/25 namun Liridon memberi bayangan bakal sertai Selangor, Sri Pahang, Kedah atau KL City.

Baca Juga:

“Dengan pasukan mana anda mahu lihat saya beraksi?” tulisnya.

Pemain yang berusia 32 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan Selangor apabila wartawan tempatan menyatakan pengendali skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe berminat untuk mendapatkan khidmat Liridon.

Cheng Hoe dan Liridon pernah bekerjasama ketika menyertai Kedah dimana dua individu ini menghadiahkan kejuaraan Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih pada 2017.

Musim lepas, beliau beraksi bersama Terengganu FC (TFC) secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga 30 November 2023. TFC merupakan kelab keempat Liga Malaysia yang disertainya selain JDT, Kedah dan Melaka United.

Selepas kontraknya bersama Harimau Selatan tamat, Liridon diberi ‘lesen’ untuk beraksi pada final Piala Malaysia 2023 menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebelum kembali ke Liga Malaysia, Liridon pernah dipinjamkan ke kelab Thailand, Khon Kaen United FC pada musim 2022.

Pada tahun 2021, Mat Don sempat merasai pengalaman beraksi dalam 9 perlawanan A-League apabila dipinjamkan ke Newcastle Jets selama 6 bulan.

Kemudian, beliau menyertai kelab Liga India iaitu Odisha dan diiktiraf sebagai ‘Raja Gelecek’ Liga Super India (ISL) untuk musim 2021/22. Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh ISL, Liridon memiliki purata 91.67% kejayaan melepasi lawan hasil skil individunya itu.