Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan pihaknya sudah menghantar surat rayuan kepada Malaysia Football League (MFL) Sabtu lalu.
Sebelum ini, MFL memutuskan untuk mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadap pasukan itu susulan ketidakhadiran ketika aksi Piala Sumbangsih menentang JDT.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
- 5 Tanda Status Kewangan Anda Lebih Baik Daripada Kebanyakan Individu Lain
Bagaimanapun, SFC tetap akan memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang telah dipertimbangkan semula oleh MFL.
“Kami sudah mengemukakan rayuan pada Sabtu. Selepas MFL mengumumkan keputusan mereka, kita membuat semakan dan meminda perkara sesuai sebelum memfailkan semua rayuan,” kata Dr Johan dipetik dalam Arena Metro.
Namun, perincian surat rayuan terbabit tidak didedahkan, SFC akan menunggu keputusan MFL untuk mempertimbangkan rayuan itu.
27 Jun lepas, MFL mengumumkan ahli Lembaga pengarah menggunakan “budi bicara” untuk membuat keputusan mengurangkan hukuman sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut MFL, denda terhadap Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 juga dibatalkan.
MFL turut membatalkan larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Namun bayaran pampasan kerugian yang perlu dibayar kepada pasukan JDT dan MFL dikekalkan.
“Bagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan,” kata MFL.