Selepas lebih 15 tahun terperangkap dalam kemelut perebutan harta pusaka, pertelingkahan tiga beradik berhubung sebuah banglo bernilai tinggi di Kuala Lumpur akhirnya menemui titik noktah.
Kes ini bukan sahaja menarik perhatian, malah memberi pengajaran besar buat kita semua tentang realiti pahit pengurusan harta pusaka keluarga jika tidak diselesaikan secara harmoni.
Kisah sebuah banglo di Lorong Raja Uda 1
Segalanya bermula pada tahun 1978 apabila bapa mereka yang juga seorang pakar mata, membeli sebuah banglo di Lorong Raja Uda 1, berhampiran Jalan Raja Muda Abdul Aziz.
Disebabkan dua anak perempuannya masih di bawah umur ketika itu, banglo tersebut terpaksa didaftarkan atas nama abang sulung, Aziz Al-Akbar Noor.
Namun dari segi perundangan, Aziz sebenarnya hanya memiliki satu pertiga bahagian secara benefisial. Baki dua pertiga lagi dipegang atas kapasitinya sebagai pemegang amanah untuk dua adik perempuannya secara sama rata.
Kemelut mula tercetus
Isu kekeluargaan mula timbul apabila adik perempuan kedua, Jelinar Noor, menduduki banglo tersebut secara eksklusif sejak tahun 2001 tanpa membayar sebarang sewa kepada adik-beradik yang lain.
Aziz pula telah berpindah keluar sejak 1990 dan tidak lagi menjejakkan kaki ke rumah berkenaan sejak 2007. Keadaan ini menyebabkan si abang dinafikan hak untuk menikmati hasil daripada hartanah miliknya sendiri.
Menurut laporan Harian Metro, apabila dibawa ke muka pengadilan, Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Apandi melihat kes ini dari sudut realiti semasa. Bukti di mahkamah menunjukkan tiada lagi ruang untuk ketiga-tiga beradik ini bekerjasama atau berbincang di meja bulat.
“Hubungan mereka telah retak dan tidak dapat dipulihkan. Tanpa penjualan melalui perintah mahkamah, plaintif akan kekal sebagai pemilik satu pertiga bahagian dan pemegang amanah tanpa batas waktu, tanpa kaedah praktikal untuk merealisasikan kepentingannya,” tegas Arziah ketika membacakan penghakiman.
Keputusan mahkamah yang menyebelahi keadilan
Menariknya, Aziz dan adik bongsunya iaitu Shamsinar sebelum ini pernah menawarkan untuk menjual bahagian masing-masing kepada Jelinar, namun tiada sebarang maklum balas diterima.
Jelinar sebaliknya berhujah di mahkamah bahawa abangnya sekadar ‘pemegang amanah kosong’ yang langsung tiada kuasa untuk menjual rumah tersebut.
Hujah itu bagaimanapun ditolak mahkamah berlandaskan Seksyen 59 Akta Pemegang Amanah 1949, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Kini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan banglo tersebut perlu dijual dalam tempoh 12 bulan dengan harga minimum 90 peratus daripada pasaran semasa. Jelinar diarahkan mengosongkan rumah itu dalam masa 60 hari.
Selepas ditolak kos jualan, hasil keuntungan akan dibahagikan sama rata. Ini bermakna hak Jelinar tidak dinafikan, dia tetap akan mendapat hasil jualan bahagiannya.
Mengelak komplikasi faraid di masa depan
Keputusan ini nyata sangat rasional. Adik bongsu mereka, Shamsinar amat memerlukan bahagiannya untuk menampung perbelanjaan perubatan serta mengumpul dana membeli rumah baharu.
Tambahan pula, ketiga-tiga mereka kini sudah semakin berusia. Jika kes ini terus tergantung dan berlaku kematian, ia bakal mewujudkan komplikasi warisan dan faraid yang lebih berselirat kepada generasi seterusnya.
Sebagai rekod, barisan peguam yang mengendalikan kes ini adalah Ivanpal Grewal bagi pihak Aziz, L Prakash mewakili Jelinar, dan Ahmad Shahrizal Abdul Aziz mewakili Shamsinar. Mahkamah juga memaklumkan, tuntutan sewa yang masih dalam tempoh had masa masih boleh dikemukakan untuk penilaian lanjut selepas ini.