Jenama ‘Jovian’ memang cukup terkenal di kalangan peminat fesyen sama ada dari dalam negara mahu pun luar negara.

Setelah 17 tahun berkembang maju dalam industri fesyen, pengasasnya, Datuk Jovian Mandagie mengumumkan penutupan sementara operasi dua jenamanya; Jovian Mandagie Couture dan Jovian Ready-To-Wear.

“Bersama pasukan yang hebat dan banyak peluang, saya mempunyai keistimewaan untuk mereka bentuk untuk golongan elit dan diraja di seluruh dunia.

“Kami telah melancarkan banyak koleksi dan pakaian untuk berjuta-juta rakyat Malaysia, meneroka pelbagai kategori fesyen yang telah menghidupkan idea luar biasa saya. Kami sangat gembira melayani anda semua, Jovianista yang dikasihi,” petik pengumuman rasmi yang dibuat oleh Jovian.

Menurutnya, beliau kini sedia berubah seiring dengan perjalanan masa — daripada seorang pereka fesyen menjadi ahli perniagaan.

Kedua-dua jenama Jovian Mandagie Couture dan Jovian Ready-To-Wear akan menutup sementara operasi dalam masa dua minggu.

Sehubungan itu, Jovian mengajak orang ramai untuk mendapatkan semua produk jualannya menerusi ‘Penutupan Akhir Jualan JBoxing’ yang berlangsung pada hari ini, 10 Mei, 10 pagi-12 tengah malam.

Jualan promosi dibuat di semua enam Jstore, serta melalui platform dalam talian seperti di laman web, Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Hasil tinjuan The Vocket mendapati harga promosi yang ditawarkan untuk pakaian, pelitup muka, minyak wangi, dan tudung, ada yang setinggi lebih 80%.

Menurut Jovian, selain barangan jualan, orang ramai turut boleh dapatkan kelengkapan perniagaan mereka seperti mesin jahit, prop dekorasi, perabot, alatan tulisan dan pelbagai lagi hanya di Jstore di Shah Alam untuk Jovian Garage Sales.

“Sokongan anda sepanjang 17 tahun yang lalu merupakan hadiah terhebat kepada kumpulan Jovian Mandagie. Mari kita pegang kenangan indah kita dan terus meningkat usia dengan anggun sebagai Jovianista, tidak kira bagaimanapun masa depan nanti.

“Adakah kita akan kembali? Semestinya — lebih besar dan lebih baik, insya-Allah. Tolong teruskan berdoa untuk kami.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada ratusan ahli pasukan, pembekal, kolaborator, selebriti dan rakan kongsi JM dahulu dan sekarang. Bekerja dengan kumpulan yang berdedikasi dan luar biasa adalah satu penghormatan, dan saya berbangga untuk memanggil anda keluarga saya,” ujar Jovian.

Sumber