Selepas hampir dua dekad menemani jalan raya tempatan dan luar negara, kisah Proton Persona secara rasmi melabuhkan tirai apabila unit terakhirnya diserahkan kepada pelanggan dalam satu majlis di pusat 4S Proton Atiara Johan, Puchong.
Pada masa sama, Proton mengumumkan bahawa peranan sedan keluarga mampu milik ini kini diambil alih oleh Proton S70 bagi varian Lite dan Prime yang menggunakan enjin empat-silinder aspirasi biasa i-GT 1.5 liter.
Daripada Wira UK Ke Sedan Keluarga Tempatan
Nama Persona sebenarnya sudah lama wujud sebelum ia menjadi pilihan rakyat Malaysia, iaitu sekitar era 1990-an apabila Proton menggunakannya untuk model Wira yang dipasarkan di United Kingdom.
Di tanah air, nama tersebut mula digunakan untuk model sedan yang dilancarkan pada 15 Ogos 2007 sebagai kesinambungan kepada Proton Wira.
Generasi pertama Persona dibangunkan berasaskan model liftback lima-pintu Proton Gen2 yang diperkenalkan kira-kira dua tahun lebih awal.
Selain memiliki ruang but belakang yang lebih panjang, Proton turut menambah baik beberapa kelemahan yang pernah dikesan pada Gen2 agar sedan empat-pintu ini lebih praktikal untuk kegunaan harian.
Dua Generasi, Pengendalian Mantap Dan 473,346 Unit Terjual

Generasi kedua Persona pula menyusul pada 23 Ogos 2016 dengan asas daripada hatchback Proton Iriz, lengkap bersama penambahbaikan pada talaan kotak gear CVT, tahap hingar, getaran dan kekasaran atau NVH.
Walaupun reka bentuk generasi kedua ini menerima pelbagai pandangan dalam kalangan peminat, ia tetap mengekalkan karakter pengendalian yang meyakinkan seperti generasi pertamanya.
Sepanjang tempoh tersebut, Proton turut memperkenalkan versi kemaskini pada tahun 2019 dan 2021 supaya model ini kekal berdaya saing. Secara keseluruhan, selama 19 tahun dan merentasi dua generasi di pasaran Malaysia serta pasaran eksport, sebanyak 473,346 unit Persona telah berjaya dijual.

Berdasarkan laporan Paultan.org, menurut Pengarah Jualan Proton Edar, Ong Chee Wooi, model ini begitu dekat dengan kehidupan seharian rakyat kerana ia menjawab keperluan asas terhadap sebuah sedan yang berpatutan, luas untuk keluarga, selesa dipandu jauh serta memberikan keyakinan di atas jalan raya.
Beliau turut berkongsi rasa penghargaan syarikat terhadap sokongan jangka panjang pembeli, “Hari ini, kami menghargai para pelanggan yang meletakkan kepercayaan terhadap Persona serta semua pihak yang menyumbang kepada kejayaannya. Kepentingan model ini terserlah melalui peluang yang diberikannya kepada rakyat Malaysia untuk memiliki kereta yang memenuhi keperluan mereka, menyokong mata pencarian dan menjadi sebahagian daripada kisah kehidupan keluarga.”
Harga Mesra Poket Dan Peralihan Ke Proton S70
Sejak awal, Persona dikenali sebagai pilihan yang tidak membebankan kewangan pembeli. Ketika dilancarkan pada 15 Ogos 2007, harganya bermula dari RM44,999 hingga RM55,800 mengikut varian, manakala generasi kedua pada Ogos 2016 ditawarkan antara RM46,350 hingga RM55,800.
ersi kemaskini terakhir pada Ogos 2021 pula dijual pada harga bermula RM47,800 hingga RM58,300.
Kini, Proton meletakkan S70 Lite dan Prime pada julat harga yang selari dengan peranan asal Persona, iaitu pada harga atas jalan tanpa insurans masing-masing bermula RM56,800 dan RM59,800 selepas rebat pembelian awal sebanyak RM3,000, tertakluk pada terma dan syarat.
Selain hadir dengan dimensi yang lebih besar serta keselesaan kabin yang lebih baik, S70 varian ini dilengkapi ciri moden seperti enam beg udara, kamera undur, peringatan tempat duduk belakang, sistem infotainmen dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta brek parkir elektrik dengan fungsi Auto Brake Hold.
Dari segi prestasi, enjin 1.5 liter yang digunakan menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksimum 150 Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT penukar tork yang lebih lancar.
Mengulas peralihan ini, Ong berkata, “Proton Persona telah menetapkan jangkaan tinggi terhadap nilai yang patut diterima pelanggan.
Penggantinya, Proton S70 1.5 i-GT, membolehkan kami memberikan lebih banyak manfaat kepada mereka. Kini, pelanggan boleh memiliki sedan yang lebih luas dan lebih selesa dengan ciri moden, sambil terus menikmati kepraktisan serta kelebihan utama yang mereka hargai.”