Saintis kini berjaya memberi masyarakat umum pandangan baru mengenai wajah Firaun Amenhotep I, pemerintah kedua Dinasti Ke-18 Mesir Purba, melalui teknologi canggih.

Selepas lebih 3,500 tahun sejak kematiannya, sekumpulan pakar grafik dan saintis berjaya membina semula wajah firaun ini menggunakan tengkoraknya, menghasilkan imej yang mendekati rupa asalnya semasa hayatnya.

Menurut laporan dari New York Post, Cicero Moraes seorang pakar grafik dari Brazil, memimpin projek ini dan menggunakan pelbagai teknik untuk memastikan hasil pembinaan semula wajah Amenhotep I setepat mungkin.

Projek ini melibatkan penggunaan data imbasan tomografi berkomputer (CT) pada mumia firaun yang diperoleh daripada kajian terdahulu oleh pakar Mesir, Sahar Saleem dan Zahi Hawass pada 2021.

Cicero Moraes menjelaskan bahawa mereka menggunakan beberapa teknik utama dalam menghasilkan wajah firaun tersebut.

Salah satu teknik utama adalah penggunaan penanda ketebalan tisu lembut di sekitar tengkorak firaun.

Data ini dipandu oleh imbasan CT daripada penderma hidup yang membolehkan pasukan ini memahami dengan lebih baik bentuk dan struktur tisu lembut pada wajah Amenhotep I.

Satu lagi kaedah penting yang digunakan ialah deformasi anatomi, di mana tengkorak digital penderma diubah suai supaya sepadan dengan bentuk tengkorak firaun.

Dengan gabungan kedua-dua kaedah ini, mereka dapat menghasilkan satu model wajah yang dianggap hampir tepat.

“Kami menghasilkan tiga kumpulan imej,” kata Moraes.

“Satu versi yang sangat objektif, dalam skala kelabu dengan mata tertutup dan tanpa rambut. Satu lagi versi berwarna dengan rambut dan mata terbuka, serta versi yang lebih artistik dengan elemen pakaian bersejarah yang mengikut era pemerintahannya.”

Hasilnya adalah wajah yang menggambarkan seorang pemerintah dengan ciri-ciri yang tegas.

Cicero Moraes menyatakan bahawa mereka juga melengkapkan imej itu dengan pakaian tradisional Mesir Purba untuk menambahkan konteks sejarah kepada reka bentuk wajah tersebut.

Namun, ahli arkeologi Michael Habicht dari Flinders University di Australia, memberikan beberapa butiran menarik yang diperoleh daripada kajian tersebut.

Beliau menerangkan bahawa Amenhotep I meninggal dunia pada usia sekitar 35 tahun dan mempunyai ketinggian 1.68 meter.

Kajian turut menunjukkan bahawa giginya dalam keadaan baik, dan rambutnya berkerinting, menandakan kemungkinan aspek keturunan yang kuat dari dinasti tersebut.

Namun begitu, terdapat tanda-tanda kecederaan selepas kematiannya, yang dipercayai berlaku akibat perompak makam atau mungkin juga semasa proses pengawetan mumianya.