Al-Ittihad terus bernafsu dalam meningkatkan kekuatan pasukan selepas dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat penjaga gol utama Manchester City, Ederson Santana de Moraes.

Difahamkan, kelab saingan Saudi Pro League itu tidak bermasalah untuk berbelanja besar bagi membawa Ederson ke King Abdullah Sport City.

Baca Juga:

Wartawan bola sepak terkenal dunia, Fabrizio Romano sebelum ini mendedahkan bahawa Manchester City telah menolak tawaran pesaing Al-Ittihad iaitu Al-Nassr bernilai £25 juta.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) lapan kali itu meletakkan tanda harga dalam lingkungan £50 juta dimana Al-Ittihad bersetuju untuk menyamai tuntutan Manchester City.

Sepanjang bersama The Cityzens bermula musim 2017/18, Ederson telah mengecapi nikmat selaku pemenang EPL sebanyak enam kali, menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23, Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super UEFA.

Beliau telah membuat 332 penampilan dalam semua pertandingan bersama Manchester City dan berjaya mencipta 155 ‘clean sheets’.

Ederson menjadi sasaran kedua dari Manchester City selepas ketua pasukan yang merupakan perancang kreatif, Kevin De Bruyne dikatakan semakin hampir untuk menjadi rekrut baharu Al-Ittihad.

Malah, beliau turut dikatakan sudah mencapai persetujuan untuk menikmati angin baharu dalam kariernya selepas sembilan tahun menyarung jersi The Cityzens.

Al-Ittihad pasti mahu meningkatkan kekuatan pasukan selepas hanya menamatkan musim 2023/24 dikedudukan kelima meskipun dibarisi pemain import seperti Karim Benzema, N’Golo Kante dan Fabinho.

Selain pemain berkelas dunia bakal menyertai pasukan, Al-Ittihad juga kini dibimbing Laurent Blanc selepas beliau menggantikan Marcelo Gallardo yang meninggalkan pasukan pada Julai lalu.