Dalam satu kenyataan yang mengejutkan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendedahkan beliau telah mengarahkan Setiausaha Pengangkutan AS untuk segera meluluskan pengeluaran kereta bersaiz kecil dan ultra-kompak di Amerika.
Inspirasi di sebalik arahan drastik ini? Pengalaman beliau melihat sendiri kenderaan comel ini semasa lawatan beliau ke Asia, khususnya di Malaysia, Jepun, dan Korea Selatan.
Menerusi satu video yang tular di platform X, rakaman ucapan Presiden Trump di White House menunjukkan beliau menyatakan minatnya terhadap kereta bersaiz ‘sangat kecil dan comel’ yang ditemui sewaktu lawatan ke Asia (termasuk Malaysia), dan mengumumkan arahan untuk meluluskan pengeluarannya di AS.
“Jika anda ke Jepun, Korea Selatan, dan Malaysia, mereka mempunyai kereta yang sangat kecil… Sangat kecil dan benar-benar comel.
“Anda tidak dibenarkan untuk membina kereta-kereta tersebut [di AS], dan saya telah memberi kebenaran kepada Setiausaha untuk meluluskan pengeluaran kereta-kereta itu dengan serta-merta.”
“Beliau menambah bahawa ia adalah ‘kurang mahal dan ia benar-benar memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki kereta (atau) untuk memiliki kereta baharu, berbanding kereta lama yang mungkin tidak begitu bagus’.”
“Honda dan beberapa syarikat Jepun yang lain telah menghasilkan kerja yang luar biasa, namun kita [AS] tidak dibenarkan untuk membina kereta-kereta itu di negara ini. Saya percaya [syarikat AS] akan meraih kejayaan besar dengan kereta-kereta tersebut. Justeru, kita akan meluluskan kereta-kereta itu.”
Model kereta yang dimaksudkan itu, yang digambarkan Trump sebagai “sangat kecil dan sangat comel,” secara tidak langsung mengingatkan rakyat Malaysia kepada legenda jalan raya tempatan, Perodua Kancil.
Trump: If you go to Japan and South Korea and Malaysia, they have a very small car… Very small and really cute. You’re not allowed to build them and I have authorized the secretary to immediately approve the production of those cars. pic.twitter.com/MT6qchy8Bk
— Acyn (@Acyn) December 3, 2025
Nampaknya, keberkesanan dan kecomelan kenderaan kecil ini di jalan-jalan bandar yang sesak telah menarik perhatian seorang pemimpin dunia, yang kini mahu membawa revolusi kereta mini itu ke jalan raya Amerika.
Persoalannya, adakah ini bermakna model seumpama Kancil berpotensi menjadi trend baharu di AS, dan apakah implikasi pengumuman ini terhadap industri automotif global?