Syarikat peruncitan barangan pembaikan rumah, MR. D.I.Y. Holding (Thailand) Plc (MRDIYT), sedang dalam proses untuk disenaraikan di Bursa Saham Thailand (SET).

Langkah ini dibuat selepas kejayaan Tawaran Awam Permulaan (IPO) Atlas Energy Plc baru-baru ini, dan penyenaraian MRDIYT dijangka akan mencetuskan gelombang baharu IPO di pasaran Thailand.

Selepas Malaysia, MR DIY Sasar Raih Lebih RM730 Juta Dari IPO Di Bursa Thailand

Memetik laman Bangkok Post, MRDIYT, sebagai salah satu peruncit penambahbaikan rumah dan gaya hidup terkemuka di Thailand, telah menetapkan julat harga tawaran IPO antara 8.30 hingga 8.60 baht sesaham.

Tempoh langganan bagi pelabur runcit adalah dari 20 hingga 22 Oktober, manakala pelabur institusi tempatan dan asing boleh melanggan antara 27 hingga 29 Oktober. Syarikat ini dijangka akan memulakan debut perdagangan di SET pada awal November.

Bualuang Securities (BLS) dan CIMB Thai Bank Plc bertindak sebagai penasihat kewangan untuk IPO ini, dengan BLS dan CGS International Securities (Thailand) mengambil peranan sebagai penaja jamin utama bersama.

Keseluruhan IPO merangkumi sehingga 655 juta saham, mewakili 10.89% daripada jumlah modal berbayar MRDIYT selepas tawaran; di mana 420 juta saham adalah terbitan baharu oleh syarikat, dan baki 235 juta saham ditawarkan oleh pemegang saham sedia ada, MDIH (Singapore) Pte Ltd.

Harga tawaran akhir IPO akan diputuskan melalui proses pembinaan buku (book-building) dalam kalangan pelabur institusi, dan MRDIYT dijangka meraih 3.3 hingga 3.4 bilion baht, yang mana dana tersebut akan diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan, pembayaran balik hutang, dan modal kerja.

MRDIYT, yang diasaskan pada tahun 2016 dan kini mengendalikan lebih daripada 1,000 kedai di seluruh negara sebagai peneraju peruncitan, menawarkan lebih 16,000 barang merangkumi enam kategori produk utama.

IPO MRDIYT ini menyusuli kejayaan tawaran saham Atlas Energy awal bulan ini, yang berjaya mengumpulkan 1.26 bilion baht daripada IPOnya.