Antonio Conte dikatakan semakin hampir untuk bergelar pengurus baharu SS Napoli dengan bayaran lumayan sehingga akan menjadikannya sebagai pengendali dengan gaji tertinggi dalam kempen Serie A.
Menurut sumber Football Italia, kelab tersebut menerusi president, Aurelio De Laurentiis sudah memberikan lampu hijau bagi membawa masuk bekas pengurus Juventus, Chelsea, Inter Milan dan Tottenham Hotspur itu.
Baca Juga:
- Romelu Lukaku Semakin Hampiri Rekod Mokhtar Dahari
- Mengapa Neymar Sanggup Tinggalkan Nike Untuk Jadi Duta Baharu Puma
- Bekas Pemain Napoli Perkuat Jentera Serangan JDT
Dalam pada itu, Conte juga dikatakan telah menyatakan minatnya untuk kembali bekerjasama dengan penyerang Belgium, Romelu Lukaku.
Kedua-dua individu itu pernah berada dalam satu pasukan hingga berjaya membantu Inter Milan muncul juara Serie A 2020/21 dan naib juara Liga Europa 2019/20.
Perkembangan terkini yang disahkan bein Sports itu mendedahkan bahawa Conte berhasrat untuk melepaskan penyerang kelahiran Nigeria, Victor Osimhen dan digantikan dengan Lukaku.
Lukaku sebelum ini dipinjamkan ke AS Roma dari Chelsea dan akan kembali menjalani latihan pra-musim bersama kelab London tersebut.
Chelsea juga difahamkan mahu melepaskan Lukaku kerana beliau berkemungkinan besar tidak berada dalam perancangan Enzo Maresca yang akan diumumkan sebagai pengurus baharu The Blues dalam tempoh terdekat.
Keadaan yang sekali gus menarik minat mendalam buat Conte untuk merekrut penjaring 21 gol dalam semua pertandingan peringkat kelab pada musim ini bersama AS Roma itu untuk ke Diego Armando Maradona Stadium.
Malah, Maresca turut berjanji akan membawa penyerang baharu buat Chelsea dalam usaha untuk meningkatkan ketajaman jentera serangan pasukan.
Oleh itu, pertukaran Lukaku dan Osimhen kelihatan amat menarik untuk disaksikan pada musim hadapan kerana Chelsea juga sudah lama menyatakan minat terhadap penyerang Napoli tersebut.
Osimhen juga sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk ke Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana ia merupakan impian dalam kariernya dan turut berminat untuk mengubah angin.
Prestasi Osimhen bersama Napoli pada musim ini juga dikatakan agak menurun apabila sekadar menjaringkan 15 gol dalam kempen liga dimana beliau gagal menyamai pencapaian muncul penjaring terbanyak kempen Serie A 2022/23 dengan 26 gol.