Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun menyatakan  Tiada kes penggunaan visa palsu melibatkan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci setakat ini.

Menurut beliau, kawalan serta pemantauan ketat dilaksanakan terhadap dokumentasi jemaah bagi mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi, petik Harian Metro.

Namun, Mohd Hisham mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej haji, lebih-lebih lagi menjelang Hari Wukuf yang dijangka pada 26 Mei ini.

“Kita faham ada segelintir masyarakat yang terdesak untuk menunaikan haji dan dalam keadaan itu, mungkin ada pihak tertentu mengambil kesempatan menawarkan pelbagai pakej haji.

“Namun, kita ingin tegaskan bahawa hanya individu yang mempunyai visa haji sah sahaja dibenarkan berada di Tanah Haram dan mengerjakan ibadah haji,” kata beliau.

Pada masa sama, kerajaan Arab Saudi telah memberikan peringatan tegas bahawa individu yang menggunakan visa selain visa haji seperti visa lawatan, pelancongan, pekerjaan atau pelajar tidak dibenarkan memasuki kawasan Makkah khususnya di Arafah, Muzdalifah dan Mina.