Kesemua kenderaan berpendaftaran Malaysia yang ditunda kerana rosak akibat banjir di Hat Yai baru-baru ini perlu melalui pemeriksaan khas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ketika melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata ia bertujuan membendung sebarang cubaan sindiket mengambil kesempatan kegiatan penyeludupan dadah, barang kontraban atau terlarang.
Baca Juga:
- Amaran Banjir Tahap Merah, Proses Selamatkan Lebih 1,000 Pelancong Malaysia Di Hat Yai Terbantut

- Rakyat Thailand Berang Orang Malaysia Lumba Haram Di Hat Yai

- Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir Di Hatyai Dedah Sikap Buruk Rakyat Malaysia

Memetik Berita Harian, hanya kenderaan sudah melepasi pemeriksaan khas itu akan dibenarkan keluar dari Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
Dokumen pengesahan pemeriksaan yang ditandatangani pegawai atau penyelia AKPS bertugas akan diberikan.
“AKPS menyedari risiko cubaan kegiatan penyeludupan menerusi pintu masuk utama sempadan negara ketika musim banjir.
“Sehubungan itu, kita akan memeriksa secara teliti serta terperinci bagi memastikan sebarang elemen cubaan penyeludupan dapat dipatahkan,” katanya kepada BH, hari ini.
Memetik laporan itu lagi, Pejabat Koordinasi Sempadan Malaysia-Thailand (MTBCO) sedang mengatur urus 15 trak tunda.
“Hasil penyelarasan bersama, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla dan AKPS Bukit Kayu Hitam bersetuju menyediakan lokasi khas berkumpul bagi operasi penarikan kenderaan terbabit.
“Kawasan yang telah dikenal pasti ialah jajaran baharu CIQ Sadao-Bukit Kayu Hitam berikutan pihak berkuasa Thailand tidak membenarkan sebarang aktiviti berkumpulan di kawasan CIQ Sadao,” katanya.