Empat pasukan yang bakal beraksi di separuh akhir Liga Premier STL 2026 bagi Grand Prix (GP) Perak sudah pun diketahui selepas berakhirnya pertembungan antara Perak Bison menentang Kuala Lumpur Thunder di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.
ATM Guardians yang merupakan juara kumpulan C mempamerkan aksi bertenaga untuk melangkah ke separuh akhir untuk menundukkan Bomba Fighters dalam aksi ‘straigt set’.
Dibarisi Muhamad Fahmi Bin Khalid selaku tekong, Muhammad Afifuddin Bin Mohd Razali di apit kanan dan Muhamad Adli Bin Abu Bakar (apit kiri), ATM Guardians menyerap tekanan dengan baik untuk keluar sebagai pemenang dengan keputusan 15-10, 15-10.
Perlawanan suku akhir kedua pula menyaksikan Johor Tigris melakar kejutan ke atas juara Piala Sumbangsih, Negeri Sembilan Antlers dalam aksi yang berlanjutan ke ‘tie-break’.
Menang 17-15 pada set pertama, Johor Tigris terlepas peluang untuk mengesahkan kemaraan dengan lebih awal apabila gagal menggunakan kelebihan jurang besar hingga membolehkan Negeri Sembilan Antlers menang 17-15.
Aksi lebih kemas ditampilkan Johor Tigris pada set ketiga untuk menang 15-8 sekali gus mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir.
PDRM Defenders pula mempamerkan semangat juang kental untuk bangkit daripada ketinggalan pada kedua-dua babak bagi meneruskan kemaraan dengan kemenangan ke atas Kelantan Warriors 17-14, 15-11.
Slot terakhir menjadi milik Kuala Lumpur Thunder selepas bergaya menundukkan tuan rumah, Perak Bison 15-10, 15-7.
Separuh Akhir Liga Premier STL 2026 GP Perak
1) ATM Guardians lawan Kuala Lumpur Thunder
2) Johor Tigris lawan PDRM Defenders