Berakhirnya saingan Divisyen 1 Sepaktakraw League (STL) 2026 malam tadi menyaksikan teka-teki mengenai pasukan mana yang bakal mengisi dua slot terakhir bagi saingan Liga Premier sudah pun terjawab.
Kedah Eagles dan Bomba Fighters melakar sensasi apabila mengenepikan cabaran dua pasukan pilihan yang berbelanja besar untuk melayakkan diri ke Liga Premier.
Kedah Eagles menundukkan Terengganu Turtles di separuh akhir manakala Bomba Fighters pula mengenepikan cabaran Pahang Mammoth di suku akhir sebelum menjadikan Sabah Mountaineers sebagai mangsa di separuh akhir.
Pada aksi final malam tadi, Kedah Eagles bangkit daripada tewas set pertama untuk muncul juara STL Divisyen 1.
Dengan kejayaan tersebut, Kedah Eagles dan Bomba Fighters akan bersaing dengan pasukan-pasukan seperti Perak Bison, Melaka Titans, KL Thunders, Negeri Sembilan Antlers, Selangor Pistons, ATM Guardians, Penang Black Panthers, Johor Tigris, Kelantan Warriors dan PDRM Defenders.

Jadual Liga Premier STL 2026
Saingan STL 2026 yang pastinya menarik untuk disaksikan itu bakal bermula di Grand Prix (GP) Perak dimana Stadium Indera Mulia, Ipoh bakal menjadi tuan rumah pada 21 hingga 25 Oktober nanti.
GP Pulau Pinang pula menyusul pada 28 Oktober hingga 1 November Julai di Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang dan kemudiannya GP Melaka dengan Stadium Bukit Serindit menjadi tuan rumah pada 11 hingga 15 November.
GP Kuala Lumpur pula bakal diadakan pada 18 hingga 22 November di Stadium Titiwangsa bagi pusingan GP keempat.
Kemudiannya, Karisma Arena Seremban bakal menganjurkan GP Negeri Sembilan pada 9 hingga 13 Disember dan diikuti GP Johor pada 23 hingga 27 Disember di Arena Larkin, Johor Bahru.
GP Selangor diadakan 6 hingga 10 Januari di Stadium MBSJ, Serdang Jaya dimana ia merupakan sirkit terakhir STL 2026.