Kedah Eagles mencipta sensasi pada aksi separuh akhir STL 2026 Divisyen 1 selepas menewaskan skuad berbelanja besar, Terengganu Turtles 2-1 di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kampung Baru sebentar tadi.

Kemenangan penting dilakarkan itu bukan sahaja membawa Kedah Eagles ke pentas final tetapi ia turut membolehkan mereka beraksi di Liga Premier bermula minggu hadapan.

Kedah Eagles Cipta Sensasi

Mempertaruhkan Amar Roslan (tekong), Hapeesorn Hnahno (apit kanan) dan Zulhusni Basri selaku apit kiri, Kedah Eagles jelas tidak menghiraukan status hebat dimiliki Zulkifli Razak (tekong), Saenkrai Dowrueang (Khairul Aman) di apit kanan dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri).

Ia jelas dibuktikan apabila trio tersebut menyerap tekanan dengan baik untuk menang set pertama dengan jurang mata 15-12.

Set kedua juga menyaksikan Amar, Hapeesorn dan Zulhusni mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan jauh untuk mengikat kedudukan 9-9.

Namun, barisan pemain Terengganu Turtles tidak mahu membiarkan kebangkitan itu berterusan untuk mereka menang 25-10 bagi mengheret aksi ke ‘tie-break’.

Aksi lebih mendebarkan pada set ketiga dengan kecederaan mula dirasai Amar yang hampir menjadi masalah buat pasukannya.

Rasa sakit itu bagaimanapun ditolak ke tepi oleh Amar yang masih mampu menghasilkan variasi servis menarik untuk memerangkap regu berpengalaman Terengganu Turtles itu.

Kelebihan dimiliki pada saat-saat genting digunakan sepenuhnya Kedah Eagles untuk mara ke final sekali gus menamatkan penantian selama 10 tahun untuk beraksi dalam STL Liga Premier.

Menanti mereka di final ialah pemenang antara Sabah Mountaineers dan Bomba Fighters yang beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir.