Perak Bison mempamerkan aksi kemas untuk menewaskan Terengganu Turtles 2-0 pada aksi kumpulan C Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan yang berlangsung di Stadium Arena 9, Nilai sebentar tadi.

Berdepan lawan yang sudah beraksi pada perlawanan pertama semalam dengan menundukkan Bomba Fighters tidak menjejaskan rentak anak buah Dzafril Anuar itu untuk tampil dengan baik terutamanya pada lewat set pertama.

Baca Juga:

Perak Bison
Najmi Shahfiq

Pada perlawanan ini, Perak Bison membariskan Kritsada Sungvung, Najmi Shahfiq Anuar (tekong),  Muhammad Noraizat Nordin (apit kanan) dan apit kiri, Aidil Aiman Azwawi.

Manakala lawan mereka pula menaruh harapan kepada Muhammad Zulkifli Razak selaku tekong, Khairol Zaman Hamir Akbar, Kittipong Jaiboon (apit kanan) dan Muhammad Zulhusni Basri (apit kiri).

Aksi menarik dapat disaksikan pada set pertama selepas kedudukan terikat 7-7 apabila Terengganu Turtles berjaya memimpin permainan hingga mendahului 13-8.

Percaturan Menjadi Buat Perak Bison

Melihatkan kepada servis kurang kemas dihasilkan Kritsada, Dzafril memasukkan Najmi Shahfiq yang nyata berjaya mengubah nasib pasukan tersebut.

Najmi Shahfiq pantas menjelmakan impak positif dengan beberapa servis padu hingga membantu Perak Bison meraih enam mata berturut-turut untuk mendahului 14-13.

Keyakinan memuncak itu akhirnya memberikan kemenangan 17-14 buat Perak pada set pertama dalam aksi berlangsung selama 30 minit.

Perak Bison

Najmi Shahfiq terus mempamerkan kecemerlangannya dengan sumbangan mata hasil servis-servis pantas dalam usaha menjerat lawan bagi mendapatkan mata.

Tambahan pula Noraizat Nordin dan Aidil Aiman juga berada di prestasi terbaik yang sekali gus membolehkan Perak Bison mengesahkan kejayaan dengan kemenangan 15-9.