Perak Bison telah memperkenalkan barisan pemain yang bakal membawa cabaran pasukan itu dalam saingan Sepak Takraw League (STL) 2026.
Pengumuman rasmi itu dibuat dalam satu majlis diadakan di Sentra Mall Klebang, Perak pada petang tadi yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani Mohamad.

Skuad Perak Bison Hadapi STL 2026
Dalam usaha untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu, Perak Bison telah membawa masuk pemain kebangsaan, Amirul Zazwan Amir dari KL Thunder.
Beraksi di posisi apit kiri, Amirul atau mesra dengan panggilan ‘Ayong’ mengisi kekosongan ditinggalkan tonggak utama pasukan, Aidil Aiman Azwawi yang memilih untuk berkelana ke Terengganu Turtles.
Selain itu, Perak Bison turut merekrut dua pemain kelahiran Thailand yang beraksi di posisi tekong. Mereka yang dimaksudkan ialah Khathadet Srichan dan Chanchai Sarika.
Dalam masa sama, Perak Bison mengekalkan beberapa tonggak sedia ada bagi memperkuatkan cabaran pasukan itu pada musim ini.
Antara pemain yang dikekalkan ialah trio apit kanan iaitu Muhammad Noraizat bin Mohd Nordin, Madzrul Aziq Mat Tahir dan Muhammad Nazrien Daniel Mohd Kamal Mustafa selain Najmi Syafiq Anuar di posisi tekong.
Perak Bison turut memberi kepercayaan kepada pemain muda, Syafiq Mustakim bin Md Saad, apabila menyenaraikannya dalam skuad untuk STL 2026.
Syafiq Mustakim, yang beraksi di posisi apit kiri, bakal membuat penampilan pertamanya dalam saingan STL selepas diberikan peluang untuk menimba pengalaman bersama skuad utama.
Bagi mengemudi pasukan, Rizam Abd Rani bertindak sebagai pengurus pasukan dan dibantu Abd Rahin Mat selaku penolong pengurus.
Mohd Tajuddin Ahmad pula diberikan tanggungjawab sebagai jurulatih dengan sokongan Yus Hanif Rosli yang bertugas sebagai pegawai analisis.
Urusan pasukan turut dibantu Muhammad Hasnul Hafizzan yang menggalas tugas sebagai urusetia pasukan.

Bukan sahaja memperkenalkan barisan pemain, Perak Bison turut tampil dengan jersi baharu yang akan digunakan sepanjang saingan STL 2026.
EFS Jersey pula menjadi penaja rasmi kelengkapan pasukan bagi musim ini dengan menyediakan jersi serta kelengkapan rasmi yang akan dipakai skuad tersebut sepanjang kempen STL 2026.