Penang Black Panthers memulakan kempen Liga Premier Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) 2024 Grand Prix (GP) Selangor dengan langkah kanan selepas berjaya menundukkan Terengganu Turtles pada aksi kumpulan D yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam sebentar tadi.
Kemenangan penting dilakarkan itu turut menepis tanggapan ramai yang melihat Penang Black Panthers akan terganggu susulan pemergian duo pemain kebangsaan, Azlan Alias dan Zarif Merican Ibrahim Merican ke Kuala Lumpur Thunder.
Baca Juga:
- STL 2024: Jadual Penuh Perlawanan GP Selangor
- Senarai Penuh Pemain Dalam Liga Premier STL 2024
- Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Format Baharu Liga Premier STL 2024
Dibarisi Ikhwan Syafiq Mohamad Fitri yang beraksi di posisi tekong, Komkrit Kaewkhamjan (apit kanan) dan Zaim Razali selaku apit kiri, Penang Black Panthers garang pada permulaan permainan apabila mendahului lawan dengan kedudukan 8-3.
Namun, kelebihan itu dipadamkan oleh Zulkifli Razak (tekong), Sutthikiart Panseankaew (apit kanan) dan Zulhusni Basri untuk mengikat kedudukan 8-8.
Aksi kejar-mengejar mata pada set pertama itu akhirnya menyebelahi Penang Black Panthers yang menang 15-21 dalam tempoh 16 minit.
Terengganu Turtles kemudiannya bangkit daripada kekalahan set pertama itu dimana trio tersebut memperkemaskan aksi untuk menang mudah 15-7 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Tersentak daripada kekalahan itu, Ikhwan, Komkrit dan Zaim menampilkan aksi lebih kemas pada set ketiga untuk jauh meninggalkan lawan dengan jurang 10-2.
Walaupun Terengganu Turtles cuba untuk bangkit dengan membawa masuk Teerapat Pronmin dan Khairul Aman Mohd Rosdi tetapi ia masih belum mampu menghalang kemenangan Penang Black Panthers yang mengesahkan kemenangan 15-7.
Penang Black Panthers akan berhadapan dengan KPT-MASUM Knights pada Jumaat ini manakala Terengganu Turtles pula bakal menanti cabaran KPT-MASUM Knights, petang esok.