Badminton adalah salah satu sukan yang popular di dunia selain daripada bola sepak dengan ramai pemain berbakat yang telah mencipta sejarah serta memberi impak besar dalam arena sukan ini.
Sama seperti mana-mana disiplin sukan lain, setiap perjalanan pasti ada pengakhirannya. Tahun 2024 menyaksikan beberapa pemain badminton terkenal dunia mengumumkan persaraan mereka.

Baca Juga:
- Enggan Beri Tekanan Kepada Anak, Chen Long Dan Isteri Tak Pamer Medal Kejuaraan Di Rumah
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
- Wong Choong Hann Panggil ‘Trio Malaysia’ Perkuatkan Barisan Kejurulatihan Badminton Hong Kong
Ia secara langsung menandakan berakhirnya era kegemilangan mereka sepanjang beraksi di gelanggang dalam menghadapi lawan masing-masing.
Artikel ini akan menyenaraikan barisan pemain badminton terkemuka yang telah mengharumkan nama negara dan sukan ini, serta merenung pencapaian dan legasi yang mereka tinggalkan sebelum melangkah ke fasa baru dalam kehidupan mereka.
1) Kento Momota – 30 Tahun
Bekas pemain perseorangan nombor satu dunia itu mengumumkan persaraan pada 18 April lalu dimana Piala Thomas 2024 menjadi pertandingan kompetitif terakhir buatnya.
Momota pernah dua kali bergelar juara dunia (2018 dan 2019), juara Asia 2018 dan 2019 serta membantu Jepun menjuarai Piala Thomas 2014 dengan menewaskan Malaysia pada perlawanan akhir.
2) Zheng Si Wei – 27 Tahun
Sudah memenangi segalanya dalam kariernya, Si Wei mengambil keputusan drastik untuk bersara pada usia muda untuk memberikan lebih tumpuan kepada keluarga.
Selain pernah menghuni ranking nombor satu dunia, Zheng Si Wei telah memenangi 32 kejuaraan siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan mara ke pentas final sebanyak 40 kali bersama Huang Ya Qiong sejak 2018.
3) Liu Yu Chen – 29 Tahun
Juara dunia 2018 ketika bergandingan bersama Li Junhui itu mengumumkan persaraannya pada 19 Ogos lalu.
Beliau yang akan melangsungkan perkahwinan bersama Huang Ya Qiong itu turut pernah mengecapi nikmat selaku juara Piala Thomas 2018 dan 2024 serta juara Asia 2018 dan 2019.
4) Ou Xuan Yi – 30 Tahun
Xuan Yi yang berpasangan dengan Yu Chen sejak 2022 turut mengambil keputusan untuk menggantungkan raketnya pada 20 Ogos lalu.
Sejak 2018, beliau telah memenangi tujuh kejuaraan BWF World Tour dimana turut pernah bergandingan bersama Ren Xiang Yu dan Zhang Nan.
5) Lee Yang – 29 Tahun
Juara Sukan Olimpik dua edisi berturut-turut bersama Wang Chi-Lin ini bersara pada 9 September lalu selepas Kejohanan Terbuka Taipei.
Beliau kini mencurahkan segala pengalaman dimiliki selaku pensyarah di National Taiwan Sport University.
6) Kevin Sanjaya Sukamulyo – 29 Tahun
Kevin membentuk gandingan mantap bersama Markus Fernaldi Gideon hingga menjadikan mereka sebagai pasangan ranking pertama dunia bagi 215 minggu berturut-turut.
Menjuarai 19 kejuaraan BWF World Tour, Kevin akhirnya mengumumkan persaraan pada 16 Mei lalu.
7) Markus Fernaldi Gideon – 33 Tahun
Telah mengecapi pelbagai kejayaan bersama Kevin, Gideon mengambil keputusan untuk bersara pada 9 Mac.
Keputusan itu sudah pastinya berkait rapat dengan beberapa kecederaan dialami hingga memerlukan pembedahan. Malah, Gideon turut mahu memberikan tumpuan kepada keluarganya.
8) Hendra Setiawan – 40 Tahun
Legenda yang masih mampu beraksi cemerlang pada usia 40 tahun itu akhirnya mengumumkan persaraannya pada 3 Disember lalu.
Kejohanan Indonesia Masters pada Januari 2025 nanti bakal menjadi pertandingan terakhir buat Hendra.
9) Mohammad Ahsan – 37 Tahun
Ahsan jelas tidak mahu Hendra Setiawan bersara berseorangan dimana beliau turut mengambil langkah sama berselang seminggu selepas pasangannya itu membuat pengumuman.
Pemain Wanita
Selain senarai yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa pemain wanita turut mengambil keputusan untuk bersara. Antaranya ialah Tai Tzu Ying (Chinese Taipei), He Bing Jao (China), Wakana Nagahara (Jepun), Rawinda Prajongjai-Jongkolphan Kititharakul (Thailand) dan Aya Ohori (Jepun).