Temasya sukan terbesar di dunia iaitu Sukan Olimpik 2024 di Paris akan bermula tidak lama lagi dan sukan bola sepak menjadi antara acara yang mendapat perhatian ramai.
Meskipun bakal diisi oleh pasukan yang kurang ternama sekiranya dibandingkan dengan kejohanan lain seperti Piala Dunia dan UEFA Euro, namun beberapa pemain bintang bakal beraksi dalam temasya kali ini.
Baca Juga:
- Ini Sebab Malaysia Hantar Pegawai Lebih Ramai Daripada Atlet Ke Sukan Olimpik
- Sukan Olimpik: Perancis Larang Atlet Wanita Memakai Tudung Ketika Bertanding
- Tawaran Istimewa redONE Mobile: RM1 Juta Untuk Atlet Malaysia Bawa Pulang Emas Olimpik 2024
Antara pemain bintang yang bakal beraksi di Sukan Olimpik 2024 ialah penyerang Argentina iaitu Julian Alvarez. Argentina yang dibimbing oleh Javier Mascherano memanggil Alvarez selain dua lagi pemain iaitu Nicolas Otamendi dan Geronimo Rulli bagi mengisi kuota pemain lebih umur.
Seterusnya, Michael Olise dan Alexandre Lacazette dipanggil bagi memperkuatkan pasukan tuan rumah selepas usaha mereka untuk mendapatkan Kylian Mbappe gagal manakala bekas pemain tengah Liverpool, Naby Keita bakal mengetuai cabaran Guinea yang menewaskan Indonesia pada aksi play-off sebelum ini.
Bekas pemain Barcelona, Junior Firpo dipanggil untuk beraksi bersama Republik Dominica manakala pemain pertahanan Paris Saint-Germain, Achraf Hakimi bakal memperkuatkan Morocco dimana beliau turut dilantik sebagai ketua pasukan.
Negara yang muncul juara UEFA Euro baru-baru ini iaitu Sepanyol memanggil pemain pertahanan muda Barcelona, Pau Cubarsi dan juga pemain yang boleh beraksi di bahagian serangan iaitu Fermin Lopez.
Mesir memanggil pemain yang pernah beraksi bersama Arsenal iaitu Mohamed Elneny yang turut dipilih sebagai ketua pasukan manakala Paraguay diperkuatkan oleh pemenang gol terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2022/2023 iaitu Julio Enciso.
Temasya kali ini bakal menyaksikan pemenang pingat emas baharu dimana pemenang pingat emas pada temasya 2020 di Tokyo iaitu Brazil tidak menyertai kejohanan kali ini.
Negara yang bertanding dalam acara bola sepak di Sukan Olimpik boleh membawa pemain yang berusia 24 tahun dan kebawah sambil tiga pemain lebih umur.