Peringkat kumpulan saingan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 kini memasuki detik penentuan apabila baki perlawanan terakhir bakal berlangsung hari ini dan esok.
Hanya Nam Dinh dari Vietnam sudah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir manakala tiga lagi slot bakal ditentukan dengan saingan sengit ditampilkan pasukan lain.
Dalam suasana pastinya dramatik ini, tumpuan bukan sahaja terarah kepada perebutan slot ke pusingan kalah mati, tetapi juga kepada senarai penjaring terbanyak kejohanan.
Setelah berakhirnya empat perlawanan sebelum ini, beberapa penyerang menyerlahkan bisa mereka dalam merobek gawang pasukan lawan masing-masing.
Berikut adalah senarai terkini penjaring terbanyak Piala Shopee 2025/26 selepas berakhirnya empat aksi awal:
Senarai Penjaring Terbanyak Piala Shopee 2025/26
1) Nguyen Quan Son (Nam Dinh) – 7 GolĀ
Terlepas aksi pertama ketika bertemu PKR Svay Rieng (Kemboja) kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan patah kaki yang dialami, Quan Son tampil garang pada tiga perlawanan berikutnya.
Beliau meledakkan hatrik ketika bertemu Shan United (Myanmar) dan menambah empat gol lagi masing-masing dua gol sewaktu berdepan Bangkok United (Thailand) dan wakil Singapura, Lion City Sailors.

2) Bergson da Silva (JDT) & Hide Higashikawa (Tampines Rovers) – 5 Gol
Bergson yang turut beraksi pada tiga perlawanan berjaya meledakkan hatrik ketika JDT membelasah Bangkok United di laman sendiri manakala tambahan dua gol lagi sewaktu menewaskan Shan United pada minggu lalu.
Manakala Higashikawa yang menjaringkan gol ketika berhadapan dengan Dynamic Herb Cebu dan Selangor, turut cemerlang dengan hatrik pada pertemuan menentang BG Pathum United.
3) Guilherme Bissoli Campos (Buriram United) – 4 Gol
Gagal menjaringkan gol pada aksi pembukaan menentang Selangor, penyerang kelahiran Brazil ini berhasil merobek gawang lawan ketika berhadapan BG Pathum (satu gol), Cong An Ha Noi (satu gol) dan dua gol bertemu Tampines Rovers.
4) Chanathip Songkrasin (BG Pathum), Faisal Halim (Selangor) & Joao Figueiredo – 3 GolĀ
Chanathip bermula garang dengan dua gol pada aksi pembukaan bertemu Cong An Ha Noi dan menambah satu lagi gol ketika berhadapan Buriram United.
Faisal pula menyumbang satu gol ketika bertemu Tampines Rovers dan cemerlang dengan dua gol pada minggu lalu sewaktu menundukkan Cong An Ha Noi.
Figueiredo yang kembali beraksi selepas mendapat pelepasan khas dari CAS berhasil mendapatkan jaringan pada aksi pertama dan kedua dengan dua gol sewaktu bertemu Lion City Sailors serta satu gol lagi ketika menentang Bangkok United.
*Statistik penjaring terbanyak Piala Shopee 2025/26 ini adalah berdasarkan informasi yang dikongsikan laman sesawang Asean United FC.