Kehadiran bekas penyerang skuad kebangsaan Belanda, Patrick Kluivert sebagai pengganti kepada Shin Tae-yong bagi mengendalikan pasukan Indonesia nyata mendapat sambutan yang dingin daripada rakyat negara itu.

Selepas perkongsian oleh Fabrizio Romano, rakyat dan media dari negara seberang dengan pantas membuat kajian mengenai latar belakang dan pencapaian Kluivert sebagai seorang jurulatih.

Baca Juga:

Salah satu media iaitu United About di laman X menyenaraikan rekod prestasi buruk yang dimiliki oleh Kluivert ketika menjalani karier di Eropah bersama beberapa kelab.

Pertama, Kluivert pernah terlibat dalam satu kejadian penganiayaan seorang pekerja kelab malam pada tahun 2000 dan beliau dihukum wajib menjalani kerja sosial selama 200 jam. Setahun kemudian, jurulatih berusia 48 tahun itu didenda jutaan ringgit selepas mengelak dari membayar cukai.

Pada 2017, Kluivert mempunyai hutang ekoran kegiatan judi sebanyak €1 Juta kepada kumpulan penjahat yang disyaki terlibat dalam kesalahan mengatur perlawanan di sekitar Eropah.

Ketika berkhidmat bersama Paris Saint-Germain sebagai Pengarah Teknikal, bekas penyerang Barcelona dan AC Milan itu dianggap menjalankan tugas dengan sangat teruk dimana kelab itu hampir terlepas satu aksi persahabatan ekoran Kluivert lupa rakannya sudah tidak bekerja di kelab yang dijadualkan menjadi lawan PSG.

Pengurus PSG ketika itu, Unai Emery pernah menghantar permohonan kepada kelab untuk menandatangani seorang pemain iaitu Ricardo Rodriguez. Akan tetapi, Kluivert lupa mengenai permintaan itu ekoran pergi bercuti dengan keluarga dan tidak melakukan sebarang rundingan.

Seterusnya, Patrick Kluivert dipecat oleh kelab Turkiye, Adana Demispor hanya selepas enam bulan menguruskan pasukan itu ekoran prestasi buruk yang dicatat dalam saingan liga.

Tugasan berat menanti Kluivert bagi memastikan Indonesia kekal konsisten dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan mencapai sasaran yang diletakkan untuk layak ke temasya tersebut.

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dijadualkan memperkenalkan Kluivert secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu skuad Garuda pada 12 Januari ini.