Aksi yang ditampilkan skuad Indonesia ketika bertemu Malaysia pada aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 jelas mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penyokong tuan rumah yang memenuhi Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK), Jakarta, malam tadi.

Lebih menarik, nama bekas ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong (STY) kembali bergema di stadium selepas skuad kendalian John Herdman itu terikat 0-0 dengan Malaysia.

Laungan tersebut jelas menunjukkan kekecewaan penyokong terhadap prestasi kurang memberangsangkan yang ditampilkan barisan pemain Indonesia.

Situasi sama turut dapat dilihat di ruangan komen laman Facebook peribadi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir apabila penyokong Indonesia meluahkan kekecewaan mereka selepas perlawanan.

Malah, nama Shin Tae-yong turut ‘didendangkan’ oleh penyokong yang masih mengingati bekas jurulatih tersebut.

“Teriakan nama Shin Tae-yong menggema di GBK seusai pertandingan lawan Malaysia, banyak yang bilang itu pemuja STY lah, STY lovers lah, tapi tidak dapat memungkiri fakta bahawa suporter Indonesia masih menginginkan Shin Tae-yong,” tulis seorang penyokong di ruangan komen tersebut.

Seorang lagi penyokong pula membandingkan pendekatan Shin Tae-yong dan John Herdman ketika Indonesia beraksi dengan 10 pemain selepas Thom Haye dilayangkan kad merah.

“10 orang di tangan STY masih boleh menyerang, 10 orang di tangan John Herdman ‘parking’ bas,” tulisnya.

Malah, seorang penyokong turut menyindir persembahan skuad Garuda itu dengan berkata, “Macam tengok Malaysia lawan Martin Paes.”

Tidak kurang juga penyokong yang menganggap reaksi selepas perlawanan itu menjadi bukti bahawa masyarakat Indonesia masih merindui pendekatan yang dibawa Shin Tae-yong ketika mengendalikan skuad Garuda.

“Bukti bahawa masyarakat Indonesia masih merindui sosok STY yang tenang dan rendah diri, tidak terlalu emosional, mempunyai taktikal serta kualiti yang baik. Dari segi permainan, Indonesia juga masih enak ditonton,” tulis seorang lagi penyokong.

Seorang lagi penyokong turut membandingkan persembahan Indonesia ketika ini dengan era Shin Tae-yong ketika mereka menewaskan Arab Saudi 2-0.

“Jauh di bawah kualiti STY ketika menewaskan Arab Saudi 2-0, walaupun ketika itu belum ada Ole [Romeny], Joe Pelupessy, Dean James, Emil dan lain-lain,” tulisnya.

Sumber