Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong menganggap permintaan Persatuan Bolasepak Bahrain (BFA) supaya perlawanan kedua-dua pasukan pada 25 Mac 2025 diadakan di gelanggang berkecuali adalah sebagai idea yang tidak masuk akal.

Seperti dilaporkan sebelum ini, BFA mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung cadangan tersebut kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Baca Juga:

Hal ini kerana skuad Bahrain dikatakan menerima ancaman yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pemain dan kakitangan pasukan selepas tamat aksi di Riffa pada 11 Oktober lalu.

Menurut kenyataan tersebut, kem Bahrain diserang daripada pelbagai sudut melibatkan laman web rasmi, akaun media sosial, dan sistem surat menyuratnya telah digodam dan dibanjiri dengan komen dan ancaman yang menghina daripada penyokong Indonesia.

Melihatkan kepada perkembangan terkini itu, Shin Tae-yong tampil mempertahankan para penyokong Indonesia dan menegaskan bahawa perlawanan tersebut perlu diadakan di Jakarta.

“Saya merasakan 100 peratus [permintaan Bahrain FA] adalah sangat tidak masuk akal kerana orang Indonesia sangat baik,” ujar tae-yong menurut sumber laporan CNN Indonesia.

“Memang apa yang dilakukan penyokong Indonesia itu ialah sangat masuk akal kerana keputusan [pengadil] sangat tidak adil.”

“Perlawanan di Jakarta memang sesuai sahaja. Kami datang ke sana, jadi mereka perlu datang ke sini pula,” tambah pengendali kelahiran Korea Selatan itu lagi.

Disingkap kembali aksi tempoh hari, penyokong Indonesia nyata berang dengan keputusan pengadil, Ahmed Al Kaf yang membiarkan aksi berlanjutan hingga ke minit ke-99 walaupun masa tambahan hanya diberikan enam minit.

Kesempatan itu diambil dengan sebaiknya oleh Bahrain yang mendapatkan jaringan penyamaan hanya beberapa saat sebelum wisel penamat ditiup Al Kaf.