Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan yang mana beliau akan terus membimbing pasukan itu sehingga tahun 2027.

Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Selurh Indonesia (PSSI) iaitu Erick Thohir dimana beliau berpuas hati dengan hasil yang diberikan oleh Tae-yong sejak dilantik sebagai ketua jurulatih pada 2019.

Baca Juga:

“Setelah menikmati makanan khas Korea dan membincangkan mengenai program skuad kebangsaan hingga 2027, saya dan Tae-yong bersetuju untuk terus bekerjasama,” kata Erick menerusi laman media sosial miliknya.

Kontrak asal jurulatih dari Korea Selatan itu berakhir pada Jun 2024 namun dilanjutkan selama enam bulan ekoran temasya Piala Asia 2023 yang berlangsung awal tahun ini dan juga saingan AFC B-23 Tahun yang ketika ini sedang berjalan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan Korea itu diberi sasaran iaitu melepasi saingan perinckat kumpulan dalam dua kejohanan tersebut dan beliau berjaya memenuhi sasaran yang diletakkan.

Indonesia akan berdepan Korea dalam aksi peringkat suku akhir AFC B-23 Tahun selepas muncul naib juara dalam kumpulan A.

Tiga pasukan teratas akan layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 secara automatik manakala pasukan di tangga keempat akan beraksi di peringkat play-off menentang Guinea.

Ketika baru dilantik, pengendali dari Korea Selatan itu membuat satu janji dimana beliau mahu menaikkan martabat bola sepak di negara itu selepas melalui zaman gelap sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Bola sepak Indonesia pernah berada di titik terendah dan mereka tidak mempunyai pilihan lain selain untuk bangkit. Saya menerima tanggungjawab ini untuk mewujudkan impian itu.

“Satu perasaan yang membahagiakan dan juga baik kerana dapat melihat bola sepak Indonesia kembali bangkit selepas jatuh. Kami memerlukan tempoh masa empat tahun untuk berada di posisi sekarang.

“Saya tidak dapat menjalankan tugas dengan baik pada dua tahun awal kerana pandemik Covid-19. Dua tahun terakhir barulah kita melihat pasukan ini berkembang,” kata Shin Tae-yong.