Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong dianggap menepati janjinya ketika dilantik sebagai pengendali skuad kebangsaan negara itu pada 2019.

Baru-baru ini, skuad B-23 Tahun Indonesia mencipta sejarah apabila layak ke peringkat suku akhir saingan edisi kali ini selepas menewaskan Jordan dengan keputusan 4-1 pada perlawanan terakhir kumpulan A.

Baca Juga:

Skuad senior dan pembangunan Garuda menampilkan peningkatan yang ketara sejak dibimbing oleh Tae-yong dan beliau dianggap berjasa dalam menaikkan semula mutu bola sepak negara itu.

Ketika baru dilantik, pengendali dari Korea Selatan itu membuat satu janji dimana beliau mahu menaikkan martabat bola sepak di negara itu selepas melalui zaman gelap sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Bola sepak Indonesia pernah berada di titik terendah dan mereka tidak mempunyai pilihan lain selain untuk bangkit. Saya menerima tanggungjawab ini untuk mewujudkan impian itu.

“Satu perasaan yang membahagiakan dan juga baik kerana dapat melihat bola sepak Indonesia kembali bangkit selepas jatuh. Kami memerlukan tempoh masa empat tahun untuk berada di posisi sekarang.

“Saya tidak dapat menjalankan tugas dengan baik pada dua tahun awal kerana pandemik Covid-19. Dua tahun terakhir barulah kita melihat pasukan ini berkembang,” kata Shin Tae-yong.

Kejayaan Indonesia ini bukan sahaja menjadi bualan peminat bola sepak Asia Tenggara malah media Korea juga memuji peningkatan yang ditampilkan oleh pasukan itu.

Indonesia muncul sebagai naib juara kumpulan A dimana mereka berada di belakang tuan rumah iaitu Qatar.

Skuad Garuda akan bertemu Jepun atau Korea di peringkat suku akhir. Tiga pasukan teratas akan layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 secara automatik manakala pasukan di tangga keempat akan beraksi di peringkat play-off menentang Guinea.