Budaya infak dan berkongsi rezeki sudah lama menjadi identiti rakyat Malaysia. Menjadi tradisi kita, setiap hari Jumaat pasti akan ada individu yang berbaik hati untuk menyediakan makanan dan buah untuk jemaah yang hadir ke solat Jumaat.

Baru-baru ini, tular sebuah perkongsian yang menarik perhatian ramai apabila seorang individu bertindak berani menegur segelintir warga asing yang dilihat mengambil kesempatan terhadap makanan infak tersebut.

Bukannya diambil mengikut keperluan, mereka didakwa bersikap ‘selamba’ dengan membolot makanan dalam kuantiti yang banyak untuk ‘kaum kerabat’ sendiri sehingga mengabaikan hak jemaah yang lain.

Menurut perkongsian individu yang menyaksikan kejadian tersebut, dia pada mulanya berat hati untuk masuk campur memandangkan makanan tersebut adalah hasil infak orang ramai. Namun, sikap melampau segelintir warga asing yang mengambil kesempatan akhirnya memaksa beliau untuk bersuara.

Individu tersebut mendedahkan bahawa warga asing berkenaan selamba membungkus makanan dalam kuantiti yang banyak dengan alasan mahu diberikan kepada rakan-rakan yang lain di rumah.

Apa yang lebih mengecewakan, ada yang sanggup menggunakan taktik licik seperti menyorokkan makanan di dalam gulungan sejadah dan di dalam baju semata-mata mahu membawa pulang bekalan lebih.

Tegasnya, makanan infak yang disediakan di Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13, Shah Alam itu sepatutnya diutamakan buat jemaah yang hadir, bukannya dijadikan ‘stok’ peribadi sehingga mengabaikan hak orang lain.

Beliau turut menggesa pihak pengurusan masjid agar lebih peka dan memantau situasi tersebut yang didakwa berlaku hampir setiap minggu.

Menerusi video yang dikongsikan, lelaki tersebut telah menegur lelaki warga asing yang mengambil makanan kuantiti makanan yang disedekahkan di dalam satu beg plastik besar dan mahu beredar dengan motornya.

Siap Sorok Dalam Sejadah, Tindakan Lelaki Ini Tegur Warga Asing 'Bolot' Makanan Infak Raih Pujian
Sumber Gambar: Threads

“Bhaai. you ambil banyak-banyak apa pasal? satu, dua tiga, lagi dalam? Tapi ada lagi orang. Awak mana boleh macam-macam? Ini orang sedekah punya tau, tak boleh macam-macam. Dia mari, dia angkat. Bukan awak ambil untuk dia. Awak mari sembahyang. Sembahyang, ambil satu balik.

“Bukan awak ambil banyak-banyak kasih semua satu kampung tau. Apalah awak orang ni. Awak ingat apa? Ini orang bagi, semua bagi sama awak orang saja,” tegur lelaki itu.

Tindakan tegas individu tersebut bukan sahaja tular, malah mendapat pujian netizen kerana sudah budaya warga asing mengambil makanan secara berlebihan telah melarat sehingga ke hari ini.

Ramai mendakwa mereka sanggup berebut lebih awal dan ada yang pernah melihat kanak-kanak ditolah dek kerana mahu mendapatkan makanan tersebut.

Boleh tonton video penuh di pautan ini.