Pada Ahad baru-baru ini rakyat Australia memuji seorang lelaki yang digelar sebagai ‘wira’ selepas tindakannya yang pantas semasa satu kejadian tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi, Sydney, iaitu serangan paling maut di negara itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan lelaki tersebut, tanpa bersenjata, berjaya menumbangkan salah seorang penembak ketika tembakan sedang dilepaskan ke arah orang awam.
Video berdurasi 15 saat itu memperlihatkan lelaki berkenaan berlindung di belakang kereta yang diparkir sebelum berlari ke arah penyerang dari belakang. Dia memegang leher penyerang tersebut, merampas senapangnya dan menjatuhkannya ke tanah, sebelum mengacukan senjata itu kembali ke arah penyerang.
Lelaki tersebut dikenal pasti sebagai Ahmed al Ahmed, 43 tahun, seorang penjual buah-buahan. Beliau dilaporkan mengalami dua kecederaan akibat tembakan dalam insiden tersebut, petik NDTV.
7News bercakap dengan seorang lelaki bernama Mustapha, yang menyatkaan beliau adalah sepupu kepada Ahmed.
“Dia kini berada di hospital dan kami tidak tahu dengan tepat apa yang berlaku di dalam badannya,” katanya.
“Kami sangat berharap dia akan baik-baik sahaja. Dia benar-benar seorang wira, 100 peratus,” tambahnya.
Ahmed dijadualkan menjalani pembedahan pada malam yang sama.
Di media sosial, beliau dipuji secara meluas atas keberanian serta tindak balas pantasnya. Perdana Menteri Anthony Albanese turut menyifatkan beliau sebagai seorang ‘wira’.
Pihak polis memaklumkan sekurang-kurangnya 15 orang terkorban dalam kejadian tembakan tersebut, yang menyasarkan komuniti Yahudi semasa acara Hanukkah di Pantai Bondi. Seramai 29 orang dibawa ke hospital, termasuk seorang kanak-kanak.
Dua suspek penembak yang didakwa merupakan seorang bapa dan anak lelakinya, menurut pihak polis pada hari Isnin.
Bapa berusia 50 tahun itu maut di lokasi kejadian, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 16 orang, manakala anak lelakinya yang berusia 24 tahun berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Bapa dan anak tersebut dikenal pasti masing-masing sebagai Sajid Akram dan Naveed Akram.
Polis New South Wales memaklumkan serangan itu berlaku ketika ratusan orang berkumpul bagi memperingati hari pertama perayaan Hanukkah dan telah diisytiharkan sebagai insiden keganasan. Mangsa turut termasuk seorang warganegara Israel, menurut Kementerian Luar Israel.