Skuad sepak takraw negara akan beraksi di pentas final Kejohanan Dunia Sepaktakraw Piala Raja Thai 2026 dalam acara regu berpasukan lelaki untuk berhadapan dengan tuan rumah, Thailand.
Skuad negara bimbingan Ahmad Jais Baharun mara ke final selepas menundukkan Indonesia 2-0 selepas regu pertama dibarisi Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Muhammad Noraizat Mohd Nordin (apit kanan) dan apit kiri, Kamarul Ezzad Kamarul Imran menang 15-13, 15-9.
Regu kedua yang terdiri daripada Muhammad Haziq Khairul Nizam (tekong), Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zuleffendi Sumari (apit kiri) pula menang 15-10, 15-8.
Malaysia Dan Thailand Berentap Di Final Piala Raja Thai 2026
Kemenangan itu memastikan slot ke final Piala Raja Thai 2026 menjadi milik skuad negara dan Thailand bakal menjadi halangan terakhir.
Tuan rumah yang pastinya mahu membalas dendam atas kontroversi di Stadium Titiwangsa beberapa bulan lalu bakal turun dengan barisan terkuat mereka.
Meskipun jauh beribu batu, anda boleh menyaksikan siaran langsung perlawanan melibatkan skuad Malaysia tersebut di saluran Youtube We Are Sepaktakraw pada jam 2.00 petang ini.
Edisi lalu yang berlangsung di Hatyai menyaksikan skuad negara sekadar berpuas hati selaku naib juara selepas tewas 0-2 kepada Thailand.