Kedutaan Palestin di Malaysia mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan cemerlang menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir hari ini.
Kedutaan itu, dalam satu kenyataan hari ini, berkata bahawa Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang berwawasan telah meninggalkan impak transformatif di peringkat serantau, dunia Islam, dan antarabangsa, petik Bernama.
“Pendiriaan Malaysia yang teguh dan berprinsip dalam isu serantau serta global, digabungkan dengan pendekatan diplomasi yang inklusif dan berpandangan jauh, telah mengangkat kedudukan ASEAN di peringkat dunia dan memperkukuh kerjasama pelbagai hala.
“Pencapaian ini menonjolkan kepimpinan unggul dan visi luar biasa Malaysia dalam mengemudi hal ehwal serantau dan antarabangsa dengan kebijaksanaan, inovasi serta pandangan jauh, sekali gus memperkukuh perpaduan ASEAN dan memajukan kerjasama kolektif ke arah masa depan yang makmur serta kemajuan bersama,” katanya.
Kedutaan itu turut memuji Malaysia kerana meletakkan perjuangan Palestin sebagai teras agendanya dalam ASEAN, yang mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi negara ini terhadap rakyat Palestin serta usaha menubuhkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.