Sehingga ke hari ini, nama Freddie Mercury masih mekar di dalam minda masyarakat di seluruh dunia. Disebabkan pengaruhnya yang hebat, 1,406 barangan yang dimiliki oleh beliau berjaya dijual pada harga yang tidak masuk akal.

Menurut laman Barrons, salah satu barang peribadinya yang menjadi perhatian adalah penyikat misai Tifanny yang dijual pada harga £152,000 bersamaan RM878,000.

Baca Juga:

Sumber Gambar: Sotheby’s

Difahamkan sikat berwarna perak dengan panjang berukuran 2.75-inci itu dijual pada harga £600 (~RM3,400) ketika pra jualan. Namun, harganya dilihat kian melonjak pada pertengahan Ogos lalu hingga mencecah £24,000 (~RM138,756).

Perkara itu dimaklumkan oleh pengelola barangan Freddie Mercury, Sotheby’s di laman web.

“Barangan ini mengembalikan memori antara muzik, fesyen dan perhiasan,” katanya.

Pakar Sotheby, Gabriel Heaton berkata, dalam enam bidaan yang dibuat, setiap barangan dijual melebihi 98 peratus anggaran pra penjualan.

Tambahnya jualan atas talian sahaja berjaya meraih lebih £7 juta (~RM40 juta)dan lebih daripada 41,800 bidaan telah dibuat sepanjang jualan.

Selain sikat, antara barangan lain yang dilelong adalah  jam tangan Seiko berwarna merah yang kalis karat, kasut, dan beberapa anugerah miliknya.

“Kami menghabiskan waktu sekitar beberapa minggu hingga bulan dalam pameran itu. Sudah tentu banyak kejutan yang tidak masuk akal akan dipamerkan oleh orang ramai pada kami.

“Kami sudah menjangkakan namun tidak mengetahui berapa banyak. Tetapi sepanjang bidaan tersebut, kami sangat kagum dengan cinta dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh mereka,” katanya.

Difahamkan, kebanyakan koleksi barangan bintang rock itu dijual kepada bekas tunangnya, Mary Austin dan rakan-rakan terdekatnya.

Untuk makluman, pelantun lagu Bohemian Rhapsody tersebut meninggal dunia pada November 1991 di usia 45 tahun.

Terdahulu, Piano Yamaha milik Freddie Mercury menjadi barangan paling mahal dijual pada harga £1.7 juta (~RM9.8 juta) oleh pembeli dalam talian.