Piotr Szczerek, seorang CEO dari Poland, telah mengeluarkan permohonan maaf selepas insiden di Terbuka AS (US Open) di mana dia dirakam mengambil topi yang telah ditandatangani oleh seorang pemain tenis daripada seorang kanak-kanak.
Video insiden itu telah tular dan mendapat kritikan hebat di media sosial. Szczerek, yang merupakan CEO syarikat turap jalan Drogbruk, mengakui bahawa beliau telah membuat “kesilapan besar”.
Dalam masa sama, Szczerek menjelaskan bahawa tindakannya adalah spontan. Beliau menyangka pemain tenis itu menghulurkan topi tersebut kepadanya untuk anak-anak lelakinya.
Beliau juga menyatakan bahawa beliau telah memulangkan topi tersebut kepada kanak-kanak itu dan memohon maaf secara peribadi.
Selain itu, pemain tenis tersebut, Kamil Majchrzak, juga bertindak balas dengan bertemu kanak-kanak itu dan menghadiahkan topi baru yang ditandatanganinya.
“Saya dengan seikhlasnya ingin memohon maaf kepada kanak-kanak yang tercedera, keluarganya, serta semua peminat dan pemain itu sendiri. Saya telah membuat kesilapan besar,” tulisnya dalam sebuah hantaran yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris.
“Secara emosi, dalam keriuhan orang ramai yang bersorak selepas kemenangan, saya yakin pemain tenis itu menyerahkan topinya ke arah saya – untuk anak-anak lelaki saya yang telah meminta autograf sebelum itu.”
“Saya tahu apa yang saya lakukan kelihatan seperti sengaja mengambil cenderahati daripada seorang kanak-kanak. Ini bukan niat saya, tetapi ia tidak mengubah hakikat bahawa saya telah melukakan hati budak itu dan mengecewakan peminat,” sambung Szczerek.
“Topi itu telah dipulangkan kepada budak lelaki tersebut, dan saya telah memohon maaf kepada keluarganya. Saya harap saya sekurang-kurangnya dapat membetulkan sebahagian daripada kerosakan yang telah berlaku.”
Szczerek, yang berkata insiden itu adalah “pengajaran yang sangat diperlukan tentang kerendahan hati,” juga mendakwa beliau dan keluarganya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen mengenai kejadian tular itu sebelum hantaran yang dibuatnya pada Isnin, di mana beliau telah mematikan ruangan komen “demi keluarga saya.”
“Saya percaya saya melakukan apa yang kebanyakan atlet akan lakukan dalam situasi sebegini,” kata Majchrzak dalam e-mel kepada NBC News, sambil menambah beliau berharap budak lelaki dan keluarganya akhirnya dapat menikmati hari yang gembira.
Boleh tonton video kejadian di bawah:-
@sporteuropetv Most wanted guy in the tennis world 😡 #tennis #usopen #Fans
Pada hari Sabtu, Majchrzak berkongsi foto dirinya bersama budak lelaki itu di Instagram Story-nya, dengan kapsyen “Hello Dunia, Bersama Brock kami mengucapkan hari yang hebat untuk anda!”.

Dalam satu lagi Instagram Story, beliau berkongsi foto dirinya memberikan hadiah dan barangan cenderamata kepada peminat muda itu.