Anak syarikat Sime Darby Bhd membeli sekumpulan syarikat yang mengendalikan pengedar Caterpillar Australia Selatan pada harga AUD500 juta (RM1.49 bilion).

Harga belian adalah pada asas tanpa tunai dan tanpa hutang tertakluk kepada pelarasan biasa untuk modal kerja, perbelanjaan modal dan pengambilan stok, petik satu laporan tempatan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut pemfailannya dengan Bursa Securities, Sime Darby Industrial Machinery Australasia Pty Ltd telah menandatangani perjanjian penjualan saham untuk mengambil alih Kuxton Pty Limited dan memperoleh 98.9% kepentingan dalam Kagera Pty Limited.

Kagera ialah syarikat induk kumpulan syarikat yang mengendalikan Cavpower, Cavpower ialah pengedar Caterpillar Inc. (“CAT”) yang berpangkalan di Australia Selatan.

Cavpower, yang beribu pejabat di Adelaide, Australia Selatan, menggaji lebih daripada 450 orang melalui rangkaian sembilan cawangan di seluruh Australia Selatan yang menjual peralatan Cat®, alat ganti, perkhidmatan dan penyelesaian teknologi terutamanya yang memenuhi keperluan industri perlombongan, pembinaan dan tenaga serta pengangkutan.

Sime Darby Industrial akan membiayai pengambilalihan melalui pinjaman luar dan dana dalaman.

Pengambilalihan Cavpower merupakan peluang untuk pengembangan geografi bidang perindustrian untuk memasuki pasaran pengedar Australia Selatan melalui pembekal yang mantap, bersaiz besar dan bereputasi dengan platform yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan.

Selain itu, pengambilalihan tersebut mempelbagaikan jangkauan Sime Darby daripada pasaran arang batu untuk mendapat pendedahan kepada deposit besar bahan-bahan kritikal seperti tembaga, litium dan kobalt di Australia Selatan itu.